Sabtu, Julai 12, 2014

Adakah MCA hanya bunga hiasan didalam pasu?


Sebuah akhbar berbahasa Cina mendakwa masyarakat Cina di negara ini memperlekehkan kemasukan semula MCA ke dalam Kabinet dengan menganggap parti itu telah melanggar janji-janji yang dilafazkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Artikel bertajuk, 'MCA masuk Kabinet seperti bunga hiasan dalam pasu', merupakan pandangan Choon Kok Boon yang disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15 akhbar tersebut.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon ditegur kerana terlalu ghairah dan bergembira dengan jawatan-jawatan yang diberikan itu sehingga memuat naik status dalam laman sosial, Facebook, "kembali semula ke Kabinet, tawan kembali kawasan lama yang hilang".

Akhbar itu turut meragui kenyataan presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang kononnya MCA menyertai semula Kabinet kerana mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Cina, seolah-olah menunjukkan bahawa setiap ahli parti yang diketuainya itu amat setia dan prihatin terhadap segala kebajikan kaum berkenaan.

Semasa kegemilangan MCA antara 2004 dan 2008, iaitu mempunyai empat jawatan menteri dan sembilan jawatan timbalan menteri (4+9) yang membawa maksud mereka lebih berkuasa dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada Cina tetapi masih tetap ditolak sepenuhnya oleh kaum itu dalam PRU-12, inikan pula jika dibandingkan dengan situasi terkini (2+3).

Penulis mengandaikan tindakan MCA menyertai Kabinet itu seperti orang tua yang terlalu uzur, tanpa sebatang gigi pun, berjalan begitu lemah dengan bertongkat dalam perjalanan ratusan kilometer hanya untuk mempertahankan sebuah tanah perkuburan Cina.

Mungkin MCA akan bangkit berkuasa selepas menyertai Kabinet, namun segalanya bergantung kepada keberkesanan gandingan menteri dan timbalan itu dalam mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan yang secara realitinya mustahil untuk dilakukan oleh mereka.

Tiong Lai diberi jawatan Menteri Pengangkutan, tetapi sebenarnya hal ehwal pengangkutan telah dikawal dan dikuasai sepenuhnya oleh jawatankuasa pengangkutan darat yang ditubuhkan. Rahsia bahawa beliau Menteri Pengangkutan tetapi tidak berkuasa sepenuhnya telah diketahui umum.

Semuanya, bermula dengan perancangan pengangkutan awam hingga kelulusan pengeluaran lesen kenderaan perdagangan bukan dalam bidang kuasanya, namun terdapat satu perkara yang dikuasai oleh Tiong Lai iaitu keputusan mengenai tender pengeluaran nombor plat kenderaan.

Kelak apabila sesiapa mahu mengambil tender nombor plat, Tiong Lai boleh melakukan dengan tangannya sendiri, tanpa perlu minta pihak lain membantu, umpama dari tangan kiri campak ke tangan kanan.

Bagaimanapun, nasib Tiong Lai lebih baik daripada timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong yang sehingga kini masih belum mengetahui portfolio dan bidang kuasanya, lebih teruk lagi kerana Pejabat Perdana Menteri yang sesak, menyebabkannya buat sementara waktu terpaksa ke pejabat lama Kementerian Pembangunan Usahawan.

Dalam masa beberapa hari ini, MCA cuba berlagak seperti pahlawan bangsa apabila membangkitkan isu guru-guru di bahagian pendidikan Cina dengan mengasak Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Mereka terlupa bahawa orang paling berkuasa di kementerian itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekali lagi terlupa bahawa sebelum ini MCA dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan bagi menjaga kebajikan guru-guru Cina.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: