Rabu, Julai 09, 2014

Adakah MB Khalid selamat kerana Pas?


Dikatakan semangat setia kawan Pas bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat semakin teruji dengan kontroversi kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dibangkitkan kembali akhir-akhir ini.

Sejak Langkah Kajang diwujudkan, isu menggulingkan dan menjatuhkan Abdul Khalid yang dirancang memperlihatkan kerjasama ketiga-tiga parti itu semakin jelas untuk dinilai.

Umum tahu, rentak Abdul Khalid kini semakin tempang apabila kehilangan kepercayaan dari kalangan ahli partinya sendiri setelah kepimpinannya mula diperlekehkan.

Jika dulu Abdul Khalid dijulang sebagai menteri besar yang efisien mentadbir negeri Selangor, namun tidak kali ini apabila nada PKR dan DAP mulai berubah berbeza Pas yang masih menyokong karier Abdul Khalid.

Sekalipun didesak pelbagai sudut, Abdul Khalid terus tenang...mungkin tahu Pas ada di belakang dan akan mempertahankannya.

Kebelakangan ini juga, Abdul Khalid mula mempamerkan belangnya kerana yakin kedudukannya tidak akan digugat sekalipun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula mempertikaikan kepimpinannya.

Sumber dalaman PKR ketika ditemui kelmarin berkata, Abdul Khalid kini sukar digugat kerana hubungan baiknya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, meskipun Langkah Kajang diadakan untuk menukar kedudukan menteri besar namun usaha tersebut mungkin gagal kerana Abdul Hadi sehingga kini masih tidak menyokong usaha untuk menggulingkan Abdul Khalid.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan dan pertemuan dibuat bersama Presiden Pas itu, Abdul Hadi tetap memberi sokongan kepada Abdul Khalid dan nampaknya ahli Pas yang lain patuh serta akur.

Kelmarin, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menegaskan Pas tetap teguh menyokong kepimpinan Abdul Khalid walaupun terdapat segelintir pemimpin PR yang mendesak menteri besar itu memberi laluan dan berundur.

Baginya, tindakan golongan yang mahu menukar menteri besar sudah kehabisan idea dan melihat Abdul Khalid sering menjadi mangsa di atas semua masalah yang berlaku di Selangor.

"Dari sekecil-kecil masalah, sampailah sebesar-besar masalah, semuanya mahu menyalahkan Abdul Khalid," katanya.

Namun kenyataan Iskandar bukanlah suara majoriti Pas apabila mula ada suara-suara minoriti dari kalangan parti Islam itu mula meragui kepimpinan Abdul Khalid.

Ahli Parlimen PR misalnya seperti Khalid Samad dan Gobind Singh Deo termasuk Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Jaafar Sulaiman yang dilihat mengkritik dan menyalahkan Abdul Khalid dengan mensabitkan pelbagai isu yang berlaku di Selangor berpunca daripada kelemahan pimpinan yang membelakangkan parti dalam Pakatan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor hanya akan diputuskan setelah mendapat persetujuan ketiga-tiga pemimpin parti daripada PR.

Ketua pembangkang itu berkata, keputusan untuk mengekalkan atau membuat perubahan perlu dibuat secara bersama sebelum membawa perkara itu untuk mendapat perkenan Sultan Selangor.

Nada sama turut disuarakan Jaafar yang menyifatkan pelbagai isu yang berlaku di Selangor berpunca daripada kelemahan Abdul Khalid yang membelakangkan Pakatan.

Ini antara sebab mengapa Khalid Samad terang-terangan menyebut Abdul Khalid perlu ditukar dengan pemimpin lain yang diterima oleh semua parti.

“Saya tidak nampak bagaimana seorang menteri besar boleh kekal jika partinya sendiri menolak beliau,” kata Khalid.

Gobind Singh Deo pula pernah mengkritik pentadbiran Abdul Khalid dengan mengaitkan isu pembinaan Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Namun, desakan dan tekanan itu tidak dihiraukan Abdul Khalid dan menganggapnya sebagai satu perkara biasa dalam dunia politik selain menegaskan tidak akan meletak jawatan kerana telah diberi kepercayaan memerintah dan terus menggalas tanggungjawab sehingga pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, nasib Abdul Khalid tetap bergantung kepada rakan-rakan ahli Pas yang akan menentukan nasibnya kali ini apabila Pas Pusat mula campur tangan dengan mengadakan perbincangan bersama Pas Selangor, semalam.

Jelas dalam kemelut politik Selangor ini, Abdul Khalid memerlukan talian hayat Pas yang telah menggagalkan sebarang usaha untuk menjatuhkan beliau.

Namun tidak mustahil Pas juga ada percaturannya sendiri yang mungkin turut memasang impian untuk mencalonkan wakil mereka memegang jawatan nombor satu di Selangor.

Adakah Pas masih bermurah hati setelah memberi laluan kepada PKR selama dua penggal menerusi kepimpinan Abdul Khalid atau akhirnya memutuskan mengambil alih tampuk nombor satu di Selangor berdasarkan majoriti kerusi Dun?

Apa nasib Abdul Khalid...diundurkan lebih awal atau tunggu sahaja Pilihan Raya Umum akan datang? Siri perbincangan lanjut antara Pas Pusat dan Pas Selangor mengenai isu ini pasti akan terdedah juga satu hari nanti.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: