Khamis, Januari 17, 2013

Tamparan buat Guan Eng, Anwar dan parasit PAS?



Ketegasan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kalimah Allah hanya khusus untuk Islam merupakan tamparan hebat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan golongan parasit dalam PAS.

Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, keputusan tegas itu menunjukkan majlis berkenaan masih berkuasa dalam PAS terutama untuk menentukan hala tuju parti tersebut tidak dicemari.

Sehubungan itu, katanya, Anwar serta Guan Eng yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta DAP dicabar membuat kenyataan rasmi menerima keputusan PAS itu atas dasar semangat setiakawan pakatan pembangkang yang mereka agung-agungkan.

"Kenyataan sedemikian boleh menghilangkan sebarang keraguan mengenai penerimaan PKR dan DAP terhadap PAS untuk meneruskan perjuangan pakatan pembangkang.

"Sekalung penghargaan patut diberi kepada Majlis Syura yang berupaya melenyapkan pelbagai tanggapan mengenai kemampuan PAS menangani isu-isu sensitif seperti kalimah Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu kalimah Allah kembali panas apabila Guan Eng dalam ucapan sempena Hari Krismas baru-baru ini menggesa kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.


Lebih mengejutkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang selepas satu mesyuarat pimpinan tertinggi pembangkang sepakat bersetuju penggunaan kalimah Allah wajar diberikan untuk semua agama dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan.

Pendirian pembangkang itu kemudiannya mendapat kecaman beberapa mufti negeri serta para tokoh agama sehingga mendorong Majlis Syura Ulama PAS semalam, mengumumkan pendirian baru yang memutuskan kalimah Allah adalah khusus buat Islam dan tidak boleh diterjemah kepada mana-mana bahasa di dunia.

Sementara itu, Hasan berkata, pendirian baharu PAS hasil mesyuarat Majlis Syura Ulama malam tadi menunjukkan badan berkenaan bertindak sebagai pengawal untuk menentukan hala tuju parti itu sentiasa menepati asas-asas perjuangannya.

Bagaimanapun katanya, terdapat banyak lagi isu perjuangan asas PAS yang belum dapat diselesaikan secara berhemah oleh parti itu dengan DAP serta PKR sehingga menjadi beban PAS khususnya berkaitan kedudukan Islam dan Melayu di negara ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: