Khamis, Januari 03, 2013

Shahnon terima PAS bersama DAP dalam Pakatan, nafi laporan media arus perdana?



Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad akur dengan keputusan PAS untuk bersama Pakatan Rakyat (PR) tidak sepertimana yang dimainkan oleh media arus perdana tentang kononnya beliau tidak bersetuju PAS bekerjasama dengan DAP dalam PR, lapor hARAKahdaily.

Beliau yang terkenal dengan novel SHIT sangat yakin menerusi kerjasama politik yang merupakan persefahaman antara tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP berkemungkinan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 nanti.

“Saya istiqamah bersama dengan PAS menerusi kepimpinan ulama.

“Saya sangat yakin, insya-Allah menerusi tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) yang merupakan persefahaman bersama antara tiga parti; PAS, PKR dan DAP, kita bakal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap rakyat, malah tidak yakin dengan penyelesaian al-Quran dan al-Sunnah.

“Umno tak yakin dengan al-Quran dan Sunnah, berbeza dengan PAS yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah. Kerana dasar yang dipegang oleh PAS itulah saya masuk PAS,” katanya dipetik dari laman hARAKahdaily.


Beliau turut meminta seluruh rakyat Malaysia merujuk kepada artikel beliau yang menjelaskan kenapa bersama PAS dalam buku tulisan bertajuk Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi yang dikeluarkan pada tahun 2006 selepas beliau tidak lagi menjadi ahli Parlimen Sik.

Artikel beliau bertajuk ‘Penglibatan Ku dalam Jema’ah PAS’ dalam buku tersebut, menjelaskan secara terperinci sebab beliau bersama dengan PAS, iaitu menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran.

“Paling pokok yang mendorongku memilih jemaah PAS ialah kepimpinan para ulamanya yang menjadi dasarnya kerana sudah pasti ulama-ulama ini adalah pewaris para Nabi yang pastinya mempunyai sifat-sifat ulama yang tulen dan ‘amil dan bukan ulama-ulama ‘Suk’ yang tak boleh diharapkan,” tulis beliau dalam buku autobiografi tersebut.

Shahnon kesal akhbar dan media arus perdana yang mempergunakan wawancara dengan beliau untuk menggambarkan seolah-olah beliau tidak lagi bersama dengan PAS. Sebelum ini, akhbar arus perdana memainkan isu tentang Sasterawan Negara yang menjadi ahli PAS seumur hidup itu tidak bersetuju PAS bergabung dengan DAP dalam PR.


Anak-anak muda hari ini mungkin tidak tahu bahawa SHIT adalah nukilan sastera versi lucah dan mencarut (tapi dianggap setaraf kitab) yang satu ketika dulu menggegar 7 petala bumi di Malaysia lanjutan dari penggunaan perkataan-perkataan yang tidak selayaknya diucapkan oleh orang yang mengakui datang dari parti Islam PAS.

Sejarahnya, pada zaman-zaman awal perang siber tahun 1998-1999 dahulu, SHIT adalah subjek yang paling hangat kerana sikap penyokong PAS dari Mursamdul sehingga ke taraf penyokong peringkat bawahan yang mengangkat SHIT sebagai kitab ‘ilmiah’ hanya kerana ia mengecam Tun Dr. Mahathir dengan kata-kata yang malu nak diucapkan oleh orang biasa, apatah lagi yang berketayap apa segala.

Tapi sebenarnya yang menjadikan SHIT popular bukan kerana bahasa mencarut Shahnon di dalam buku itu, sebaliknya tindakan Mursamdul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat memfitnah Allah swt dengan mengatakan Allah swt juga mencarut seperti mana Shahnon mencarut di dalam SHIT – dalilnya sepotong firman Allah swt yang bermaksud “celakalah kedua tangan abu Lahab, dan sememangnya Abu lahab adalah celaka” (Surah Al-lahab : 1)”.

Sedangkan yang ditulis Shahnon dalam SHIT adalah perihal pelbagai organ sulit wanita. Tapi Nik Aziz lump-sum semua sekali dan kata Allah swt juga mencarut SAMA seperti Shahnon dalam SHIT.

Mana samanya pun tak tahu, malah Timbalan Mursyidul Am PAS – Haron Din sendiri tidak setuju dengan pandangan Nik Aziz, tapi apakan daya, Nik Aziz siapa, dia siapa.


Cukup dengan sejarah. Yang penting sekarang ialah bagaimana tiba-tiba Shahnon cuba menukar haluan, silap-silap pegangan politiknya. Ada pandangan mengatakan Shahnon dah terbayang-bayang balasan dialam barzakh nanti akibat dari buku yang ditulisnya dulu yang telah menyebabkan adanya generasi muda PAS hari ini yang tidak segan silu mencarut kerana percaya tuhan juga mencarut.

Shahnon mungkin sedang mencongak berapa banyak dosanya apabila semakin ramai yang tidak ada adab dalam berbahas dan berbahasa kerana terpengaruh dengan tulisannya dulu.

Tapi Shahnon tak sepatutnya risau, menulis buku mencarut dengan mengatakan tuhan mencarut adalah 2 perkara berbeza walaupun berpunca yang sama. Shahnon memang mencarut di dalam SHIT tapi Nik Aziz yang mengatakan tuhan mencarut sehingga kontroversi dari kenyataannya itu mengalahkan kontroversi buku itu sendiri.

Sebab itu penulis tak setuju dengan pandangan yang pertama, sebaliknya penulis percaya Shahnon mula bertukar haluan kerana percaya pengorbanannya menyokong PAS kerana menyangkakan parti itu memperjuangan Islam dan apa yang tidak lengkap (tapi tidak salah) dari segi berhukum dan beramal dalam konteks berkerajaan, telah dipesongkan oleh pimpinan baru PAS hari ini.

Apa sekalipun, ini bukan perkara baru. Dulu pun sudah disebut perkara sama cuma fokusnya bukan pada golongan professional mengatasi ulama tapi lebih kepada kemunafikan PAS.

Islam dibuang dan diganti dengan negara berkebajikan hari ini demi menghalalkan hubungan dengan DAP hanyalah takdir yang tidak ditentukan berlaku pada zaman Shahnon mula menceburi politik PAS dulu.

Namun apakan daya, ku sangka cerah sampai kepetang, rupanya hujan ditengahari! Shahnon nampaknya marah buat seketika, tetapi masih sayang pada PAS rupanya!

Apa sekalipun, Shahnon taubat atau tidak sekarang, ia tidak memberi kesan sangat kepada politik semasa kerana itu adalah hak beliau. Sekurang-kurangnya kritikan beliau dapat membuka mata ahli-ahli PAS akan kepincangan parti itu.

Dari segi moral itu mungkin menjejaskan sikit perjuangan PAS, sebab dikala artis-artis veteran berlumba-lumba masuk PAS, pemimpin veterannya pula yang kritikal pandangannya terhadap parti itu, silap-silap keluar parti pun boleh.
Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: