Khamis, Januari 24, 2013

Perjuangan PAS zalim : Bai'ah ceraikan isteri dan kejahilan!!!



Pengakuan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad tentang wujudnya bai'ah atau sumpah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya ada wakil rakyat Pas berhenti atau keluar parti, agak menggemparkan.

Walaupun cakap-cakap mengenai perkara itu sudah kedengaran ketika isu lompat parti hangat diperkatakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, ia masih tinggal sebagai desas-desus kerana pemimpin Pas mengunci mulut.

Maka apabila Khalid membuat pengakuan itu, ia membongkarkan apa yang sudah membuak-buak tersimpan sebagai rahsia yang menanti pecah. Awang percaya pendedahan itu bukan sahaja mengejutkan orang ramai malah di kalangan para pemimpin dan ahli parti itu sendiri.

Pelbagai pihak termasuk ulama seperti Mufti Perak, Harussani Zakaria dan Profesor Dr. Mahmood Zuhdi serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah bai'ah tersebut yang bercanggah dengan amalan dan nilai Islam sebenar. Beberapa pemimpin pembangkang terutama DAP dan Kelab Penyokong Pas turut mempersoalkannya. Asas bantahan semua pihak cukup jelas iaitu isteri dan perkahwinan yang dilihat mulia tidak sepatutnya menjadi bahan pertaruhan hanya kerana politik.

Persoalannya mengapa sampai ke tahap itu pemikiran pemimpin Pas yang mencampurkan urusan parti dan perkahwinan? Mengapa wanita dijadikan mangsa kejahilan? Kita bukan berada di zaman jahiliah. Sesungguhnya kita tidak terkejut dengan bai'ah seperti itu kerana Pas untuk sekian lamanya sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan politik berbanding kepentingan Islam.

Ia jelas memperlihatkan budaya politik yang rendah pada parti itu selain kurang keyakinan dalam mengurus barisan wakil rakyatnya. Kita percaya tiada parti politik dalam dunia termasuk yang menggunakan label Islam mengadakan bai'ah menceraikan isteri talak tiga (yang tidak boleh dirujuk semula kecuali Cina buta).

Rasanya juga tiada parti politik termasuk di negara mundur seperti di benua Afrika, yang wakil-wakil rakyatnya akan membenarkan diri terikat dengan sumpah seumpama itu yang tidak munasabah, bercanggah dengan semangat demokrasi, keadilan dan kebebasan jiwa yang merupakan prinsip Islam. Pas perlu ada keyakinan, ia bukan Parti Ajaran Sesat sebagaimana Ayah Pin yang mengubahsuai agama untuk kepentingan dan keseronokan diri. (Mungkin Ayah Pin pun tidak tergamak adakan bai'ah itu).

Bagaimana jika kepimpinan Pas melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam, kezaliman, kejahilan dan segala macam eksploitasi serta kelemahan memudaratkan tetapi enggan membetulkannya, apakah wakil rakyat Pas akan terus bersubahat dan tidak berani bertindak keluar parti?

Menurut Khalid, bai'ah tersebut bagi mengelakkan pengkhianatan, tetapi mengapa isteri yang menjadi galang ganti? Tidakkah ia bersifat ugutan yang melampau. Kalau begitu, mana-mana wanita yang berkahwin dan bakal berkahwin dengan aktivis politik Pas perlu berhati-hati dan bersedia dari sekarang kerana anda mungkin terjebak menjadi mangsa sumpah politik. Jika keadaan ini dibiarkan, kita tidak terkejut jika selepas ini, akan ada bai'ah lain seperti murtad seisi keluarga jika keluar parti.


Sekali lagi, ia membuktikan Pas mempergunakan agama demi kepentingan dan muslihat politik. Kita melihat ini sebagai ketaksuban berparti yang akan terus meletakkan Pas sebagai parti ekstrem. Sebab itulah, Pas sukar memberikan impak dalam politik nasional. Parti itu juga selalu melepaskan kesempatan terbaik untuk mengamalkan kesederhanaan dalam pendekatannya sebagaimana amalan Nabi Muhammad SAW. Belum terlewat untuk kembali ke pangkal jalan dengan membatalkan bai'ah tersebut. Persoalannya apakah Pas bersedia melakukannya sambil mengakui kesilapan?

Yang Menariknya : Muslimat Pas pertahan bai'ah!

Agak menarik kerana dalam para pemimpin PAS menafikannya, Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai'ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti. Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai'ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai'ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti. "Kami sangat setuju dengan bai'ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah. "Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti sama kasihnya," kata beliau pada seminar memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini.

Beliau mengulas laporan muka depan sebuah akhbar mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai'ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu. Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung. Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai'ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.

"Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh 'main-main' masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam. "Saya melihatnya positif. Media jangan 'main-main' dengan isu ini," katanya. Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah. "Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon," katanya. Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah dilakukan oleh parti. Sila baca di sini.

Komen : Pelik tapi benar kerana Ustaz Hadi pun tak mengaku ada perkara seperti ini ( bai'ah ) ada didalam PAS? Apa lagi yang pemimpin PAS hendak temberang mengenai Bai'ah ! Husam Musa sendiri berkata yang perjuangan negara Islam hanyalah ideslisma sahaja manakala bekas MB Perak Nizar pula mancabar ahli dewan DUN Perak supaya ditunjukkan bukti yang PAS hendak menegakkan negara Islam? Jadi apa sebenarnya yang PAS perjuangkan?

Adakah kerana semata-mata hendak berkuasa, agama di pergunakan. PAS menipu pengikut-pengikutnya dengan menggunakan undang-undang ALONG supaya ahli mereka yang terjebak tidak dapat melarikan diri lagi. MasyaAllah.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: