Isnin, Januari 28, 2013

Anwar tertekan - Lebih 10,000 Rakyat Berbilang Kaum Sambut Kepulangan Najib!




Lebih 10,000 rakyat berbilang kaum termasuk 2 menteri Kabinet dan orang kenamaan hari ini membanjiri Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi menyambut kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran mereka bagi menunjukkan sokongan kepada Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke Semenanjung Gaza Selasa lalu sebelum menghadiri mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland.

Ketibaan Najib yang diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada kira-kira 11.05 pagi, disambut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.

Kenamaan lain termasuk Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur turut membawa sepanduk dan kain rentang, antaranya bertulis “Selamat Pulang Pejuang Umat”, “PM Wira Negara”, “We Are Proud To Have A Brave PM” dan “We Love PM”.

Dalam ucapannya, Najib berkata beliau terharu atas sambutan yang tidak disangka itu dan merestui perhimpunan tersebut kerana ia sebenarnya menunjukkan komitmen rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Katanya beliau mengambil keputusan untuk melakukan lawatan ke Gaza bagi menyampaikan pendirian rakyat serta melihat sendiri keadaan di kawasan tersebut. “Kita dah hulur derma, NGO (badan bukan kerajaan) kita sudah pergi ke bumi Palestin, tetapi kita atas nama kerajaan Malaysia, atas nama rakyat Malaysia, atas nama Barisan Nasional, belum lagi sampai ke bumi Palestin,” katanya.

Najib berkata walaupun dalam tempoh lawatan yang singkat, beliau sempat dibawa melihat sekitar Gaza yang penduduknya padat dan daif, serta melihat kemusnahan akibat serangan Israel terhadap bangunan kerajaan, masjid dan stadium yang semuanya tidak mempunyai ‘kepentingan ketenteraan’.


Beliau berkata serangan seperti itu bertujuan untuk meningkatkan penindasan dan cengkaman terhadap rakyat Palestin,serta meruntuhkan semangat mereka, justeru itu amat penting untuk pergi ke sana dan menyampaikan mesej bahawa mereka tidak berseorangan dalam perjuangan itu.

“Ada orang kata kita patut melakukan apa saja untuk menentukan keselamatan Israel, tetapi bagi kita, bagi rakyat Malaysia, bagi Barisan Nasional, bagi kerajaan, yang kita pentingkan adalah rakyat Palestin mesti mendapatkan hak asasi dan kedaulatan serta keselamatan yang terjamin,” katanya.

Najib berkata penubuhan kerajaan perpaduan di antara Hamas dan Fatah adalah penting bagi memastikan perjuangan mereka di bumi Palestin mencapai kejayaan.

“Ingatlah bahawa tunjang kepada segala-galanya adalah perpaduan, perpaduan itu amat penting. Pengajaran kepada kita di bumi Malaysia ini juga, perpaduanadalah tonggak kepada segala-galanya.

“Kita boleh beri sokongan moral, kewangan dan politik tetapi kesudahannya rakyat Palestin mesti ambil langkah ke arah perpaduan. Inilah mesej yang telah saya sampaikan kepada mereka bahawa rakyat Malaysia merupakan pejuang yang akan sentiasa berdiri teguh di belakang rakyat Palestin dalam perjuangan mereka,” katanya.

Gaza merupakan satu daripada penempatan di Palestin yang mempunyai penduduk seramai 1.7 juta orang walaupun hanya seluas separuh negeri Perlis. Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia pertama yang menjejakkan kaki ke negara itu turut dianugerah Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa atas sokongan yang diberi terhadap perjuangan Palestin.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: