Sabtu, Januari 12, 2013

Krisis air Lembah Kelang : Kemampuan rumah pam terhad?



Lebih 100,000 penduduk daripada kira-kira 28,000 akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur masih belum menerima bekalan air menerusi sistem paip sejak mengalami gangguan pada 29 Disember lalu.

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ir. Lee Miang Koi berkata, proses pemulihan di 13 kawasan dalam wilayah Kuala Lumpur mengambil masa berikutan kapasiti rezab bekalan air tidak mencukupi.
O
Menurutnya, tahap pemulihan di wilayah itu setakat ini hanya mencapai 40 peratus, manakala 95 peratus gangguan di wilayah Gombak sudah dapat diselesaikan.

"Keadaan pemulihan di wilayah Kuala Lumpur yang lambat ini disebabkan oleh pengurangan sebanyak 30 juta liter sehari (JLH) kadar pengepaman air terawat daripada Rumah Pam Wangsa Maju.

"Rumah pam tersebut menghadapi masalah untuk terus beroperasi dalam keadaan overload apabila dikehendaki beroperasi melebihi kadar pengepaman tersebut iaitu 170 hingga 180JLH," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar menjelaskan status terkini gangguan bekalan air di Rumah Pam Wangsa Maju, di sini hari ini.

Antara kawasan yang masih terlibat dengan gangguan bekalan air di wilayah Kuala Lumpur adalah Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Nirwana, Kampung Pandan Dalam, Taman Dagang, Bandar Sri Permaisuri dan Flat Seri Melaka.

Tambah Miang Koi, permintaan air yang terus meningkat di kawasan yang mendapat bekalan daripada Rumah Pam Wangsa Maju memburukkan lagi keadaan.

"Syabas sudah menjangkakan akan timbul masalah ini memandangkan operasi pam tidak boleh ditingkatkan secara berterusan melepasi kapasitinya.


"Selain itu, kawasan yang menerima bekalan dari rumah pam tersebut juga sepatutnya telah dirancang untuk mendapat bekalan air tambahan dari Loji Rawatan Air Langat 2 yang masih tertangguh tanpa mengetahui tarikh siap," ujarnya.

Dalam pada itu, Syabas turut mendapatkan bekalan daripada Syarikat Air Johor, Lembaga Air Perak, Syarikat Air Melaka Berhad, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Syarikat Air Negeri Sembilan, yang melibatkan bantuan 16 buah lori tangki bagi meringankan kesulitan pengguna.

"Kami juga menempatkan 250 tangki air statik di kawasan terlibat sejak gangguan bekalan air tidak berjadual ini berlaku," katanya.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

The Gunners berkata...

Saya tak faham sangat kenapalah MB S'gor ni susah benar nak selesaikan masalah air ni. Masalah air ni pun bukannya masalah baru, tapi sejak 2008 lagi dah dibangkitkan SYABAS. Tapi tak tahulah pula saya kalau MB S'gor sengaja buat2 susah untuk selesaikan masalah ini. Manalah tau kot2 mahu raih political mileage katakan...