Ahad, Mac 09, 2014

Seperti biasa selepas kalah Anwar cuba raih simpati, dakwa wujud konspirasi?


Anwar Ibrahim terus cuba meraih simpati apabila sekali lagi mendakwa wujud konspirasi sehingga menyebabkan Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28.

Beliau yang sebelum ini berkali-kali memohon penangguhan kes tersebut turut menuduh barisan hakim yang bersidang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik bukannya mengikut fakta dan undang-undang.

Ketua Pembangkang itu mendakwa, keputusan tersebut telah ditetapkan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk memastikan dia tidak dapat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini.

"Secara terang-terangan keputusan ini tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, namun saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam saya atas usaha yang baik.

"Namun malang sekali para hakim tidak mengambil kira fakta dan undang-undang, menunjukkan mereka seperti telah mendapat arahan dan hilang sabar ketika menjatuhkan hukuman," dakwanya.

Beliau memberikan reaksi itu di luar mahkamah terhadap sabitan penjara yang dijatuhkan ke atasnya, di sini hari ini.

Sebelum itu, beberapa bekas rakan Anwar menyifatkan keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Pembangkang itu bertanding di kawasan tersebut dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkannya daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.


Bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman mendakwa, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR bahawa perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali adalah perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.

"Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

"Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau," dakwanya.

Ahli Dewan Negara, Ezam Mohd. Noor pula berkata, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum'.

"Saya tidak hairan dengan 'drama' Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008," dakwanya.

Sementara itu, peguam Anwar, Karpal Singh berkata, pihaknya akan membayar wang jaminan dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.

Menurut Karpal, keputusan itu juga menyebabkan Anwar hilang kelayakan untuk bertanding pada PRK DUN Kajang.

"Beliau tidak boleh dicalonkan pada penamaan calon 11 Mac ini. Kami akan kemuka rayuan untuk kes ini pada hari Isnin dan Anwar juga akan hadir," katanya ringkas.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

nasirwise berkata...

http://nasirwise.blogspot.com/2014/02/tahun-kuda-tahun-malang-anwar-ibrahim.html