Bagi kumpulan Anwarinas dalam Pas, Haji Hadi hanya layak jadi nelayan
Orang Pas, sama ada Pas Rumi atau Pas Jawi sepatutnya boleh angkat kening terhadap Anwar Ibrahim.
Mengapa Anwar selaku Ketua Pembangkang pada tahun lepas tidak menahan atau mengarahkan sahaja bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan DUN Sungai Besi, Terengganu, Mohd. Shamsul Mat Amin supaya menarik balik saman terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
Anwar Penasihat PKR, sebagai ketua dia boleh berbuat demikian. Tetapi kenapa dia tak buat?
Meskipun Mohd. Shamsul menyifatkan saman yang difailkannya ke atas pemimpin Pas itu tidak akan mengeruhkan hubungan yang sedia terjalin di antara PKR dan Pas, tetapi secara logik dan hukum-hakam perasaan sebagai manusia, kalau `bapa kita disaman sepupu-sepapat atau saudara terdekat, bagaimana? Apa perasaan kita?
Inikan pula seorang presiden parti, Presiden Pas yang ada ratusan ribu pengikut, yang kerusi parti itu di Selangor sahaja - yang mana juga terletaknya DUN Kajang - melebihi kerusi PKR dan sama hebat pula bilangan kerusi dengan DAP di negeri itu.
Mohd. Shamsul atau sesiapa sahaja daripada PKR boleh mengungkapkan, tidak ada kesan saman ke atas Abdul Hadi kepada orang Pas. Barangkali RM2 juta boleh dicari, tetapi maruah diri Abdul Hadi nak diletakkan di mana? Disaman pula oleh orang dalam parti sekutu sendiri. Tetapi Anwar berdiam diri, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku melibatkan orang kuat parti sekutunya.
Dan kalau direnung-renungkan, memang ketika ini sedang berlaku pergolakan yang agak getir dalam pakatan atau pun dalam PKR sendiri.
Peguam Presiden Pas, Asmuni Awi (tengah) memberikan sidang media berhubung permohonan mengetepikan perintah penghakiman ingkar bagi kes saman fitnah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Mengapa pilihan raya kecil DUN Kajang perlu diadakan sehingga memaksa penyandangnya, Lee Chin Cheh yang muda sihat wal-afiat mengosongkan kerusinya. Kalau difikir-fikirkan jika benarlah Anwar begitu menggilai jawatan Menteri Besar Selangor, elok sahaja dia meminta menteri besar yang ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengosongkan kerusi DUN Pelabuhan Klangnya.
Atau setidak-tidaknya orang kepercayaannya, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali meninggalkan kerusi DUN di Bukit Antarabangsa. Abdul Khalid dan Azmin tidak akan rugi apa-apa kerana kedua-duanya turut kekal status wakil rakyat masing-masing di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Gombak.
Malah, kalau Abdul Khalid memang akur mahu berundur sebagai Menteri Besar, dia semestinya juga secara sukarela akan memberikan kerusi Pelabuhan Klangnya kepada Anwar. Nampaknya memang sukar berunding atau mempengaruhi Abdul Khalid dan Azmin yang diketahui umum mempunyai hubungan dingin.
Hakikatnya, kalau direnung sekali lagi pun, kepimpinan kerajaan negeri Selangor yang diketuai Abdul Khalid kelihatan jauh dari jangkauan pengaruh Anwar.
Anwar boleh berseloka dan bermain kata-kata ketika berucap di atas pentas beberapa minggu lalu di Kajang, dengan Abdul Khalid kelihatan tersengih-sengih berdiri bersama khalayak mendengar celoteh Ketua Pembangkang itu, tetapi mahukah menteri besar itu berundur?
Kalau diamati kenyataan Abdul Khalid dalam sidang akhbar baru-baru ini, jelas beliau menolak penemuan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (Umcedel) yang mengatakan kononnya rakyat Kajang bersedia mengangkat Anwar menggantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
"Tak ada, tak ada...itu tak ada isu. Saya ingat kita tak boleh gunakan maklumat itu (kajian Umcedel) untuk putar-belitkan keinginan rakyat (Selangor) sebab ada rakyat yang beri jawapan dan ada yang tidak beri jawapan...tapi itu status akademia yang sihat oleh Universiti Malaya," kata Abdul Khalid.
Tambah Abdul Khalid, pengundi Kajang tahu jasa dan sumbangan beliau kepada Selangor sejak beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar.
Bercerita pasal Anwar, mungkin sesiapapun termasuk Menteri Besar Selangor sendiri sukar membaca strategi yang sedang dicongakkannya.
Kalau ditanyakan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, ini jawapannya kepada penulis baru-baru ini.
"Kalau kita lihat di Selangor banyak isu kontroversi yang timbul. Mula-mula dulu, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kemudian pertentangan pandangan istana dengan kerajaan negeri. Isu kalimah Allah contohnya ada pula percanggahan antara keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri.
"Begitu juga dilihat daripada kenyataan Rafizi dan Anwar yang mendakwa UMNO Selangor agresif memainkan isu perkauman.
"Dilihat pada isu, seolah-olah ada satu agenda besar dengan kelak akan ada yang melihat seolah-olah Istana Selangor campur tangan dengan memberi pandangan berbeza. Di sini, akan ada kemungkinan berlaku pertembungan krisis perlembagaan antara kuasa istana dan `kuasa rakyat kalau Anwar dicalonkan jawatan menteri besar oleh DUN Selangor. Adalah pada masa itu nanti sultan yang mempunyai kuasa melantik MB, akan dilihat yang mana satu yang lebih berkuasa. Adakah sultan ada kuasa memilih menteri besar atau baginda pula yang kena akur apa yang diputuskan oleh DUN.
"Saya lihat apabila berlaku ini, pada bila-bila masa sahaja kerajaan pakatan boleh panggil mesyuarat DUN khas. Kalau Abdul Khalid tidak mahu letak jawatan, usul tidak percaya akan diletakkan pada Abdul Khalid," kata Noh.
Baru-baru ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang turut dilaporkan oleh akhbar ini, percaya tindakan saman terhadap Abdul Hadi oleh Mohd. Shamsul ada kaitan dengan usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej Presiden Pas.
"Saya percaya keperibadian beliau kental dan tidak tergugat dengan tekanan seperti ini.
"Namun saya menyarankan agar semua anggota parti mengadakan solat dan munajat memohon dimudahkan urusan agar Pas serta Presidennya terhindar daripada perancangan tidak bertanggungjawab pihak tertentu dan sikap jahat mereka," katanya.
Anwar boleh berbuat sesuatu untuk menyelamatkan Abdul Hadi sebelum ini tetapi dia tidak melakukannya.
Peguam Mohd. Shamsul, A. Vasudevan sebelum ini memberitahu, saman malu itu tidak boleh ditarik balik. Namun katanya, peguam defendan boleh memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar tersebut.
Adakah pengikut Pas hanya sekadar melihat dari jauh kemelut yang sedang melanda Presidennya?
Atau parti itu sekadar melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang yang semakin diragui kesepakatannya.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan