Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, Mac 21, 2014
Dasar suka sama suka, kenapa Anwar diam?
Baru-baru ini, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong menyifatkan bahawa hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak wajar kerana perbuatan tersebut dilakukan `atas dasar suka sama suka antara dua orang dewasa'.
Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya diguna pakai sekiranya perbuatan tersebut dilakukan atas dasar paksaan sedangkan dalam kes ini dilakukan atas kerelaan mangsa.
Kenyataan Christopher ini mengejutkan banyak pihak dan boleh memberikan berbagai-bagai tafsiran dan implikasi.
Tafsiran pertama bahawa perbuatan itu berlaku. Implikasinya terhadap sistem nilai Islam adalah besar. Christopher mengambil pendirian sistem nilai liberal sedangkan Anwar dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan ialah orang Islam.
Anwar ialah majikan Mohd. Saiful. Sebagai orang Islam pertimbangan syarak menjadi asas ukuran terhadap apa yang berlaku.
Anwar yang sedang berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menjadikan kes hukuman terhadap sebagai modal ceramah harus mempunyai sikap terhadap kenyataan Christopher itu.
Tafsiran yang terdapat dalam kalangan khalayak ialah negatif. Melainkan Anwar dan Wan Azizah menyaman Christopher dengan kenyataan itu. Bolehkah ini terjadi kerana selama ini Majlis Peguam bermula zaman Datuk S. Ambiga lagi menjadi rakan sekutu Anwar?
Isu hukuman lima tahun itu seperti biasa dijadikan modal politik meraih simpati. Terbitlah tuduhan biasa bahawa ia adalah konspirasi dan kezaliman berlaku terhadap Anwar.
Khalayak amat maklum bahawa perbicaraan panjang di Mahkamah Tinggi dengan 69 penangguhan dan tidak tampil saksi-saksi alibi bagi pihak Anwar adalah suatu testimoni bahawa ia bukan sebuah mahkamah kanggaru.
Mahkamah Rayuan meneliti apa yang berlaku di Mahkamah Tinggi dan beberapa kesamaran didengar semula dengan asas hujah dan bukti. Ternyata pihak pembelaan tidak mampu mempertahankan hukuman Mahkamah Tinggi dan akhirnya keputusan baru dibuat.
Yang nyata waktu keputusan Mahkamah Rayuan dibuat tidak ramai penyokong Anwar berada di mahkamah. Apakah ini petanda bahawa sokongan terhadap Anwar sudah semakin merosot?
Anwar dan Wan Azizah cuba menggunakan PRK DUN Kajang sebagai medan meraih simpati. Ia sudah menjadi politik peribadi bukannya politik yang mendukung isu-isu rakyat dan isu-isu nasional.
Yang paling hairan sekali Pas tidak membuat apa-apa komen mengenai kenyataan Christopher itu. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam perlakuan "suka sama suka" itu mempunyai kesan terhadap hukum syarak.
Apakah kerana pertimbangan politik PRK DUN Kajang, Pas mengambil sikap berdiam diri dibimbangi kalau Pas mengambil pendirian ia boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap Wan Azizah?
Isu syarak seharusnya menjadi keutamaan bagi Pas. Pada masa dahulu Pas lebih utamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan syarak dalam banyak perkara. Kenyataan Christopher ini menjadi salah satu lagi isu yang menyebabkan Pas kelu dan kaku.
Sepatutnya isu hukuman lima tahun penjara tidak sepatutnya menjadi bahan kempen Anwar dan Wan Azizah dengan pelbagai tuduhan. Anwar masih ada satu saluran iaitu Mahkamah Persekutuan untuk menegakkan kebenaran bagi pihak dirinya.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menafikan dakwaan campur tangan dalam keputusan badan kehakiman. Bagi hakim katanya, apa saja keputusan mereka buat perlu memberikan sebab dan sebab itu tertakluk kepada penelitian Mahkamah Rayuan.
Menuduh pihak tertentu melakukan konspirasi memang mudah dan memikat orang lain. Melakukan konspirasi melibatkan banyak pihak. Apakah ada asas bukti yang kukuh menyatakan konspirasi itu terjadi? Ia hanya bersifat provokasi untuk mengalihkan isu dan melakukan helah peribadi.
Pengundi Kajang harus bijaksana menilai antara politik simpati yang mengulangi skrip lama kepada politik realiti yang menuntut kewibawaan dan integriti.
Sekiranya ini tidak berlaku senario politik negara masih diwarnai pandangan popular sekadar mendapatkan simpati. Ia adalah tidak sihat.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan