Rabu, Mac 26, 2014

Bagaimana Inmarsat rungkai misteri?


Syarikat telekomunikasi satelit Britain, Inmarsat akhirnya membantu merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 selama 17 hari, selepas data-data yang disalurkan oleh satelit itu mengesahkan kapal terbang itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Data-data yang disalurkan oleh Inmarsat memberi petunjuk kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat Perth.

Dengan menggunakan analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini dalam mana-mana siasatan melibatkan kehilangan dan kemalangan pesawat, satelit Inmarsat dan Badan Penyiasatan Kemalangan Penerbangan (AAIB) United Kingdom mengesahkan pesawat MH370 terbang sepanjang laluan ke koridor selatan dan mengesahkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi.

Berdasarkan maklumat data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan perasaan penuh sedih dan terharu malam kelmarin mengumumkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bahawa pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Satelit Inmarsat telah memainkan peranan penting bagi membantu mengesan kehilangan pesawat MH370 sejak berita kehilangan MH370 dilaporkan pada 8 Mac lalu.

Tujuh hari selepas pesawat MAS itu hilang, satelit Inmarsat dilapor menerima isyarat 'ping' daripada pesawat MH370 lima jam selepas kapal terbang itu hilang dari radar.

Sebuah satelit Inmarsat turut mengesan isyarat 'jabat tangan' (handshake) daripada MH370 selama beberapa jam, sebelum syarikat itu mengeluarkan satu kiraan berdasarkan datanya, menunjukkan pesawat tersebut kemungkinan terbang menuju koridor utara sehingga ke Turkmenistan dan koridor selatan menjangkau Lautan Hindi.

Data itu turut mengalih tumpuan operasi mencari dan menyelamat dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi dan bahagian daratan sehingga ke Turkmenistan dalam satu operasi mencari yang dilancarkan secara besar-besaran melibatkan 26 buah negara.

Inmarsat ditubuhkan pada 1979 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang juga merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada masa ini, Inmarsat memiliki 10 buah satelit terletak pada ketinggian 35,786 kilometer dari paras bumi termasuk satelit Inmarsat-5, Alphasat, I-3, I-4 dan Inmarsat-2.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: