Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Mac 06, 2014
Khalid ketepikan tekanan Anwar?
Perbalahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim semakin ketara.
Terbaharu, kedua-dua pemimpin tersebut dilihat berbalah berhubung isu persetujuan Kerajaan Selangor untuk menandatangani Perjanjian Awal dengan Kerajaan Persekutuan yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci tentang penstrukturan semula industri air di negeri tersebut.
Persetujuan itu diumumkan oleh Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini, hari ini sebelum Anwar beberapa jam kemudian mengarahkan Menteri Besar Selangor tersebut menangguhkan dahulu perjanjian berkenaan.
Anwar mengeluarkan arahan itu dengan alasan ia tidak boleh dilakukan selagi kepimpinan negeri dan pakatan pembangkang tidak diberi penjelasan sepenuhnya sedangkan Abdul Khalid sebelum ini sudah menyatakan apa yang beliau lakukan adalah demi kepentingan rakyat.
Sebelum ini Anwar juga dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan Abdul Khalid yang tidak memaklumkan kepada beliau berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan Selangor dengan kerajaan persekutuan yang ditandatangani pada Rabu lalu.
MoU penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor itu menyaksikan Kerajaan Selangor akan membenarkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan akan mengambil alih konsesi air di negeri tersebut.
Dalam sidang akhbarnya, Abdul Khalid berkata, persetujuan untuk menandatangani Perjanjian Awal dicapai ketika beliau menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya, semalam.
Beliau juga menempelak kenyataan beberapa pemimpin PKR yang menyatakan MoU berhubung perkara itu akan menyebabkan tarif air meningkat.
Sebaliknya, beliau menegaskan, dalam Perjanjian Awal yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak semalam, tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun.
"Dalam perjanjian itu telah dinyatakan bahawa tidak akan ada sebarang kenaikan tarif air dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Kelmarin, Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli mendakwa MoU itu akan menyebabkan kenaikan harga air secara mendadak untuk menampung kos pengambilalihan empat konsesi air di negeri ini.
Mengulas tentang dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang memintanya tidak berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi untuk membuat perjanjian, Abdul Khalid berkata, setiap kerajaan mempunyai prosedurnya sendiri untuk membuat perjanjian dan menjaga maklumat kerajaan.
"Sebagai contoh, apabila kita (kerajaan negeri) memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat, kita telah melantik pegawai untuk menjaga maklumat kerajaan dengan prosedur yang ditetapkan dan ini telah lama dilakukan.
"Saya harap, bijak pandai kita mesti mempunyai keupayaan untuk tentukan bahawa tatacara pentadbiran perlu dibuat dengan penuh adab dan tertib supaya rakyat dapat melihat kita lebih profesional dengan apa-apa yang kita lakukan," tegas beliau.
Mengulas pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Abdul Khalid berkata, mereka turut bersetuju supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mewakili Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri diwakili oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
"KeTTHA dan KDEB akan bekerjasama bagi menghasilkan draf Perjanjian Awal ini yang dijangka ditandatangani dalam tempoh yang terdekat.
"Perkembangan ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak terhadap MoU penstrukturan semula bekalan air di Selangor," katanya.
Addul Khalid dalam pada itu berkata, dokumen MoU tersebut akan didedahkan kepada umum dalam tempoh seminggu.
"Saya telah berbincang dengan menteri berkaitan untuk membenarkan orang ramai mendapatkan salinan MoU itu dan dalam tempoh seminggu kita akan dapat jawapannya.
"Namun, melalui maklum balas yang saya terima hasil perbincangan itu, menteri terbabit turut berpendapat perkara ini boleh dilakukan kerana ia bertujuan pendedahan umum dan tidak menjejaskan keselamatan negeri serta negara," ujarnya.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan