Sabtu, November 29, 2014

UMNO jamin kelangsungan solidariti untuk pastikan negara aman - Najib!


Solidariti atau perpaduan menjadi penekanan utama dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini apabila mengucapkan perkataan itu sebanyak lima kali dalam tempoh 15 minit pertama ucapannya.

Perdana Menteri berkata, UMNO selaku komponen utama dalam Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan kelangsungan solidariti kerana ia adalah aset penting yang dapat menjamin keamanan serta keharmonian Malaysia.

"Ini satu tindakan yang dilakukan tanpa jemu oleh kerajaan kerana ia aset paling mustahak demi survival UMNO, BN dan negara tercinta," katanya ketika berucap di hadapan 2,752 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib berkata, solidariti yang dipupuk melalui kontrak sosial oleh kepimpinan UMNO terdahulu menjadi asas kepada perjalanan Malaysia sejak dahulu hingga kini dan selama-lamanya.

"Jika kita teliti bapa-bapa pimpinan yang terdahulu dengan segala pendekatan berhikmah dan bijaksana telah memulakan lembaran baharu negara ini, ibarat menghampar sehelai kain putih yang terbentang untuk dipercorak serta diwarna-warnikan.

"Langkah terawal yang diambil oleh pemimpin kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO ialah mewujudkan keamanan dan kestabilan melalui apa yang dinamakan kontrak sosial.

Najib berkata, kejayaan itu menuntut pengorbanan semua pihak yang mempersetujuinya terutama orang Melayu serta Bumiputera dan kontrak sosial itu menjadi satu wahana dalam mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat bagi sebuah negara yang masih muda dan baharu.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai solidariti, Najib berkata keputusan untuk menyambut Hari Kemerdekaan hanya pada 31 Ogos setiap tahun adalah contoh jelas semangat solidariti dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini, selain 'membawa' semangat bapa kemerdekaan negara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

"Ramai yang tertanya-tanya mengapa kita mahukan satu sahaja tarikh kemerdekaan bagi seluruh Malaysia. Jawapannya adalah solidariti. Tapi jangan bimbang cuti umum pada 16 September masih tetap kita raikan.

"Malah, lebih mustahak perlu diketahui itulah hasrat Tunku Abdul Rahman yang menghendaki sambutan Hari Kemerdekaan disambut pada tanggal 31 Ogos," katanya.

Aura Almarhum Tunku Abdul Rahman dirasai setiap perwakilan apabila laungan "Merdeka...Merdeka...Merdeka' bergema di Dewan Merdeka yang dipenuhi dengan warna merah, putih dan merah jambu.

Presiden UMNO itu juga mengajak rakyat seluruh negara agar terus bersatu padu di bawah lembayung UMNO dan BN sebagai usaha untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

"Penyatuan juga penting bukan sahaja untuk menang dalam PRU14 tapi menjadikan negara lebih hebat dan maju dalam satu ikatan solidariti yang tidak mungkin mampu terpecah bentengnya.

Najib menarik perhatian perwakilan apabila mengakui takwim 2014 adalah tahun penuh cabaran buat Malaysia apabila diduga dengan pelbagai ujian termasuk kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 pada Mac dan nahas pesawat MAS Penerbangan MH17 Julai lepas.

Beliau berkata, ketika menghadapi detik tragis membabitkan Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, tiada negara kuasa besar yang mampu menolong Malaysia, namun atas semangat solidariti, segala kesukaran berjaya diatasi.

"Tidak pernah terjadi dalam sejarah, saya berunding dengan pemberontak yang tidak mempunyai identiti negara. Nawaitu (niat) saya tak lain tak bukan hanya nak dapatkan kotak hitam dan masuk ke kawasan kejadian," kata Najib.

Ketibaan jenazah secara berperingkat disambut dengan penuh istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan solidariti terbukti apabila kesemua rakyat menghormati Hari Perkabungan Negara pada 22 Ogos lepas ketika ketibaan kumpulan pertama 20 jenazah mangsa tragedi MH17.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Najib menjelaskan semangat solidariti sekali lagi terbukti apabila sama-sama merasakan kesedihan pencerobohan oleh pengganas dari selatan Filipina di perairan Pantai Timur Sabah pada 12 Feb 2013. Insiden berdarah itu meragut nyawa 10 anggota keselamatan negara.

"Memetik lagu (Seniman Agung Allahyarham Tan Sri) P Ramlee "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari." Insiden pahit Lahad Datu telah memalit dan mencalarkan sejarah watan negara, tetapi ia berjaya pertautkan lagi persaudaraan dan ikatan silaturahim antara rakyat Malaysia," katanya.- BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: