Khamis, November 06, 2014

Malaysia menang kes pertikaian tanah KTM dengan Singapura?


Pertikaian berhubung cukai tanah yang mengancam projek usaha sama antara kerajaan Malaysia dan Singapura membabitkan tanah milik KTM Berhad di Singapura telah dimuktamadkan dengan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda semalam memutuskan bahawa isu itu memihak kepada Malaysia.

Mahkamah Timbang Tara dalam keputusannya semalam berhujah bahawa tidak ada cukai tanah tambahan perlu dibayar oleh syarikat usaha sama antara Khazanah Nasional Bhd.-Temasek Holdings Ltd iaitu M+S Pte Ltd, dengan perkongsian 60:40.

Pertikaian tentang cukai itu timbul berikutan perbezaan tafsiran terhadap perjanjian berkaitan mercu tanda itu pada 2010 yang mana Malaysia bersetuju menyerahkan beberapa bidang tanah milik KTM di Singapura melalui satu pertukaran tanah yang membawa kepada pembentukan syarikat M+S Pte Ltd. bagi melaksanakan projek-projek utama di Marina South dan kawasan Ophir-Rochor.

Tanah-tanah KTM itu ialah di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah. Malaysia telah bersetuju bahawa M+S perlu menanggung bayaran pembangunan bagi tanah di Bukit Timah, tetapi bukan untuk tiga bidang tanah yang lain.

“Kementerian Pembangunan Nasional Singapura mentafsirkan bayaran pembangunan sebagai cukai ke atas nilai tanah yang telah ditingkatkan berikutan kelulusan kerajaan bagi pembangunan dengan nilai yang lebih tinggi,” lapor Business Times Singapura.

Mahkamah The Hague memutuskan bahawa M+S tidak dipertanggungjawabkan untuk menanggung bayaran pembangunan ke atas tanah-tanah Keppel, Kranji dan Woodlands jika tanah-tanah itu telah dilaburkan dalam M+S dan jika M+S telah memajukan tanah-tanah itu memenuhi keperluan penggunaan tanah yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan bersama, semalam, kedua-dua kementerian luar kedua-dua negara berkata: “Singapura dan Malaysia berpuas hati dengan proses penyelesaian dan mengesahkan bahawa kedua-dua negara ditawarkan peluang untuk membentangkan kes mereka berhubung isu itu.

“Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya keputusan Tribunal itu.”

Channel News Asia melaporkan bahawa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyambut baik keputusan mahkamah itu dengan berkata, beliau “gembira Singapura dan Malaysia telah mampu menyelesaikan pertikaian itu secara adil dan baik”.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: