Sabtu, November 15, 2014

Selangor pulangkan 351 Bible bahasa Melayu!

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH dan Mohamed Azmin Ali (kanan belakang) menyaksikan Mohammad Adzib Mohd. Isa (kanan) menyerahkan kembali Bible yang dirampas kepada Bolly Lapok di Istana Alam Shah, Klang, Selangor, semalam.

Selangor memulangkan 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang mengan­dungi kalimah Allah kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM) dalam majlis yang diadakan di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Penyerahan naskhah Bible tersebut yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) daripada BSM pada Januari lalu itu dilakukan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa kepada BSM yang diwakili Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS), Archbishop Datuk Bolly Lapok sambil disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Yang turut hadir Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid; Pengarah JAIS, Ahmad Zahrin Mohd. Saad dan Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Dr. Herman Shastri.

Mohamed Azmin dalam kenya­taan hari ini menyifatkan penyerah­an semula 351 naskhah Bible itu merupakan satu langkah terbaik bagi menyelesaikan isu rampasan kitab tersebut yang menjadi pertikaian antara masyarakat, khusus­nya dalam kalangan penganut Islam dan Kristian sebelum ini.

“Saya mengucapkan penghargaan tertinggi kepada Sultan Se­langor atas pandangan jauh serta insiatif baginda dalam mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama. Semua pihak yang terlibat terutamanya MAIS dan ACS telah pun mencapai penyelesaian yang baik dalam isu Bible ini menerusi usaha ikhlas dan keyakinan untuk menghormati sensitiviti agama dan masyarakat,” katanya.


Thank you madam speaker?

Twitter Hannah kepada TS Khalid sebelum ini?

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengakui bahawa beliau mahukan kesemua Bible yang dirampas oleh JAIS sebelum ini dipulangkan semula kepada pihak Kristian kerana itu adalah hak milik penganut agama itu.

“Sejak memegang jawatan Menteri Besar Selangor, pentadbiran negeri akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambah baik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor. Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya berikrar untuk memulangkan Bible tersebut kepada pihak Kristian kerana itu milik mereka,” tegasnya.

Sementara itu, Mohamad Adzib menegaskan, pemulangan semula naskhah-naskhah Bible berkenaan dibuat atas titah Sultan Selangor setelah mengadakan perbincangan serta mendapatkan pandangan da­ripada Majlis Dewan Diraja Sela­ngor sebelum ini.

Bagaimanapun, pemulangan ke­semua Bible itu menurut beliau disusuli dengan syarat tegas baha­wa kitab-kitab berkenaan yang me­ngandungi kalimah Allah tidak boleh diedarkan di Selangor, khususnya dalam kalangan umat Islam.

“Bible yang mengandungi kalimah Allah hanya boleh digunakan dalam kalangan penganut Kristian di Sarawak. Penyelesaian (pemula­ngan 351 naskhah Bible) ini adalah untuk memastikan semua pihak menghormati agama dan keperca­yaan di antara satu sama lain, selain mengekalkan sensitiviti kepelbagai­an agama di negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Adzib turut mengingatkan kepada semua pihak berhubung titah Sultan Se­langor yang mahukan kepercayaan-kepercayaan lain menghormati sensitiviti umat Islam, selain berharap pengedaran termasuk penerbitan Bible yang mengandungi kalimah Allah tidak lagi dilakukan di Selangor.

Ini kerana katanya, tindakan menerbit serta mengedarkan Bible yang mengandungi kalimah Allah itu adalah kesalahan di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kala­ngan Orang Islam) Selangor 1988.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: