Rabu, November 05, 2014

Kes liwat ll : DNA lewat dihantar tapi masih boleh dianalisis?


Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terhadap pembantu beliau, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hari ini diberitahu, ujian DNA masih boleh dilakukan walaupun lewat dihantar untuk dianalisis.

Ketua Pendakwa Rakya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, dalam pengulungan hujah balas, menerangkan bahawa sampel DNA tidak lewat dihantar ke jabatan kimia jika dibandingkan dengan kes-kes melibatkan DNA di luar negara.

"Kita bandingkan dengan kes-kes dan material-material yang sudah pun ada. Umpamanya kita diberitahu mahkamah dalam kes ini hanya dua tiga hari DNA tersebut dilengahkan ataupun dihantar ke jabatan kimia.

"Ada kes di Austarlia yang Dr. McDonal juga tahu bahawa selepas 13 1/2 tahun seorang wanita yang dirogol dan kemudiannya dibunuh di pantai di Queensland yang cuacanya macam kita, polis mendapati masih terdapat DNA air mani pada tuala tersebut," jelas Muhammad Shafee kepada pemberita di lobi mahkamah di sini petang ini.

Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes itu berhenti kira-kira pukul 3 petang tadi selepas Muhammad Shafee menamatkan hujah balas beliau yang dibentangkan sejak Jumaat lalu.

Prosiding rayuan kes liwat Anwar akan bersambung Khamis ini dengan pasukan peguam perayu membentangkan hujah balas.


Muhammad Shafee berkata, beliau mengambil masa bagi menerangkan eksibit berkaitan DNA.

Antara lain Muhammad Shafee berkata, beliau menjelaskan DNA asing yang ditemui Dr. Mohd Osman Abdul Hamid pada Mohd. Saiful berkemungkinan besar milik doktor tersebut.

"DNA yang dikatakan berdekatan dengan lubang dubur Saiful itu saya kata boleh juga jadi ketika Dr. Osman memeriksa Saiful, tidak ada keterangan sama ada dia memakai baju, sarung tangan dan peralatan termasuk protoskop yang disteril. Sedangkan doktor-doktor Hospital Kuala Lumpur yang memeriksa Saiful menggunakan peralatan yang disteril.

"Keterangan Dr. Osman ini saya lihat agak teruk besar dan kemungkinan tercemar dengan DNA doktor itu semasa memeriksa Saiful. DNA asing yang ditemui dalam lubang dubur mungkin dari protoskop yang beliau gunakan," jelas Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee juga menjelaskan kepada mahkamah bahawa terdapat kes bunuh dan liwat yang melibatkan ahli politik yang sama dengan kes Anwar.

"Ia melibatkan segala macam dakwaan oleh pesalah. Pesalah menuduh bahawa kes beliau merupakan satu konspirasi macam kes Anwar ini.

"Beliau tidak memberi keterangan bersumpah, tidak memberi alabi, dan tak mahu membuat keterangan sama macam kes Anwar ini. Kes tersebut memihak kepada pihak pendakwaan," kata Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee juga berkata, beliau menjangkakan keputusan kes tidak akan diketahui dalam masa terdekat bagaimanapun beliau juga tidak akan terkejut jika keputusan diumumkan Jumaat ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: