Selasa, November 04, 2014

DNA perayu sepadan dengan DNA 'Lelaki Y' - Shafee?


Prosiding rayuan kes liwat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim terhadap pembantu beliau, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang memasuki hari kelima hari ini, ditegaskan semula bahawa DNA perayu padan dengan DNA 'lelaki Y' yang dikeluarkan daripada tubuh Mohd.Saiful.

Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujah balas, berkata, beliau menekankan beberapa perkara yang dianggap mustahak terhadap kes berkenaan ini termasuk tiga barang bukti iaitu tuala 'good morning', berus gigi dan botol air mineral yang digunakan oleh Anwar ketika ditahan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

"Ketiga-tiga item ini dibawa sendiri oleh perayu dan ahli kimia memperolehi DNA Anwar daripada ketiga-tiga item tersebut. DNA perayu padan dengan DNA 'lelaki Y' yang dikeluarkan daripada tubuh Mohd. Saiful.

"Kita tahu ini adalah DNA kepunyaan perayu yang kita bandingkan adalah eksibit-eksibit dalam lokap. Kita tahu orang lain tidak gunakan eksibit ini hanya perayu sahaja," kata Muhammad Shafee, yang ditemui media selepas selesai membentangkan hujah di Mahkamah Persekutuan di sini pada pukul 1 petang tadi.

Jelas beliau, kaedah pengambilan DNA itu digunakan kerana Anwar tidak memberikan sample DNA beliau seperti darah.

Turut dihujahkan adalah berkaitan pertikaian barisan peguam perayu mengenai cara sample DNA tersebut diambil, sedangkan kaedah pengambilan DNA itu tersebut diterima di kebanyakan negara Komanwel seperti Singapura, Sri Lanka dan England.

"Mereka kata cara kita ambil DNA ini tidak adil dan mempedaya. Mereka juga berkata, Anwar ditahan semalaman bukan kerana mahu disoal siasat tetapi kerana mahu mengambil sampel DNA Anwar.


"Kita ada keterangan yang menyatakan disebabkan ada siasatan dan kerana waktu ketika itu sudah pukul 12 malam, maka Anwar ditahan semalaman dan kenyataan beliau diambil sepenuhnya oleh pegawai penyiasat pada keesokan hari. Pada 9.30 pagi, Anwar dibebaskan. Anwar ditahan seperti orang lain," jelas Muhammad Shafee.

Hujahan balas yang turut dikemukakan adalah berkaitan saksi yang dipanggil oleh perayu iaitu Dr. Mohd. Osman dari Hospital Pusrawi.

"Dr. Osman tidak bercerita yang sebenar. Saya tidak berkata beliau tidak mempunyai kredibiliti tetapi dia tidak mempunyai kepakaran. Kami telah membuktikannya melalui bukti yang dikemukakan beliau sendiri. Ini ada dalam pembentangan (submision) saya," jelas Muhammad Shafee.

Muhammad Shafee turut berkata. pihak pendakwa raya telah mengemukakan 65 peratus hujah balas dan menjelaskan, beliau yang akan membalas hujah-hujah baharu yang dibangkitkan oleh barisan peguam Anwar pada esok pagi.

Katanya, beliau akan menghabiskan hujah balas esok dan selesai sebelum waktu rehat pada pukul 1 petang. Barisan peguam Anwar dijangka akan membuat hujahan balas selepas itu.

Muhammad Shafee menjangkakan prosiding rayuan akan selesai esok.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: