Selasa, November 04, 2014

Liwat ll : Hubungan seksual terdahulu boleh di terima?


Keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan berkaitan hubungan seksual terdahulu dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim boleh diterima dalam rayuan kes liwat sekarang, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, keterangan itu boleh diterima kerana menunjukkan keadaan minda dan perilaku Mohd Saiful sebelum, semasa dan selepas perbuatan liwat seperti didakwa itu.

Beliau berkata, keterangan itu relevan untuk menjelaskan mengapa tiada sebarang kecederaan atau tanda-tanda trauma fizikal pada dubur pengadu.

"Justeru, adalah jelas bukti mengenai hubungan seksual terdahulu, seperti keterangan oleh Mohd Saiful, sebenarnya diterima...dan tidak ada bahaya yang serius mengenai keterangan prapenghakiman," katanya ketika berhujah di hadapan barisan panel lima orang hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Empat orang lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.


Muhammad Shafee berkata, contoh keterangan Mohd Saiful yang mengaitkannya dengan hubungan seksual terdahulu dengan Anwar ialah "saya kata saya tidak mahu lakukannya pada hari tersebut."

Beliau juga berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan dan salah laku Anwar pada penggulungan kes oleh pihak pembelaan berhubung dengan apa yang dikatakan hubungan seksual terdahulu.

Beliau berkata, keterangan itu relevan mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950 kerana ia memperjelaskan pertuduhan liwat.

Mengenai perkara lain, Muhammad Shafee berhujah bahawa Anwar gagal untuk memanggil saksi yang menjadi alibi beliau untuk membuktikan pembelaannya.

Beliau berkata Anwar, melalui peguam caranya SN Nair, telah menyenaraikan kira-kira 10 nama termasuk isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetapi tidak seorang pun daripada mereka dipanggil.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: