Isnin, November 24, 2014

Isu RM2.6j : Rakyat berhak diberi penjelasan?


Rakyat Selangor berhak mendapat penjelasan berkenaan pemberian wang pampasan kepada lapan pegawai bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana ia melibatkan wang awam.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Perbadanan Menteri Besar (MBI) perlu menjawab sama ada wujud terma dan syarat pelantikan seumpama itu dan bagaimana pemberian itu dikira.

Menurutnya, beliau percaya setiap syarikat mempunyai cara yang berbeza dalam memberi pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, tetapi dalam kes ini ia perlu didedahkan.

“Apabila ada yang membangkitkan, maka MBI perlu beri penjelasan dan laporan mengenainya kerana ia melibatkan kepentingan kepada rakyat dan mereka mahu tahu sama ada RM2.6 juta itu dikeluarkan secara adil.


“Pemberian itu perlu mengikut terma pelantikan sama ada wujud sebegitu atau tidak kaedah itu, ia perlu dedahkan supaya rakyat dan pihak tertentu tidak lagi mempertikaikannya," katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan bahawa kebiasaannya sesebuah syarikat itu akan memberi pampasan mengikut pengiraan kadar yang termaktub dalam pengurusan sumber manusia.

“Kalau ditamatkan lebih awal, maka akan menjejaskan pendapat individu itu dan syarikat besar seperti MBI sudah tentu ada memberi pampasan cuma terma dan syarat yang mungkin berbeza dengan yang lainnya.

“Pembayaran pastinya berbeza mengikut pangkat yang mungkin mengambil kira tempoh penggal dan sebagainya.

“Bagaimanapun MBI perlu menjawab banyak persoalan yang mungkin akan timbul seperti kenapa MBI mempunyai syarat seperti itu dan kenapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri lain tiada,” katanya.


Azizuddin dalam pada itu percaya, Abdul Khalid meluluskan pemberian itu atas dasar yang dipatuhi kerana beliau merupakan pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, pertikaian mengenai pampasan hanya boleh dipersoalkan dari sudut integriti, bukan politik.

Pemberian pampasan bergantung kepada persetujuan berdasarkan undang-undang kerana ia membabitkan persoalan integriti.

“Kita perhatikan isu MBI ini lebih cenderung kepada pembunuhan karakter politik kerana ia seolah-olah cubaan menyalahkan bekas menteri besar,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: