Jumaat, November 21, 2014

Mahu bawa UMNO ke mana?


Setahun berlalu, pertemuan orang Melayu terbesar kembali lagi. Enam puluh lapan tahun berlalu, UMNO masih menjadi rumah kepada orang Melayu dan bu­miputera malah terus memayungi pelbagai kaum di negara ini.

Cuma dari tahun ke tahun orang Melayu semakin be­­­­ra­sa sesak nafas. Hal yang demikian kerana UMNO menjadi satu-satunya parti siasah tempat bergantung dan berharap. Rumah lain sudah lama tidak peduli hal Melayu. Mempertahan dan memperjuangkan hal berkaitan Melayu bagi mereka tidak lagi sesuatu yang perlu dan dianggap ketingalan zaman malah mudah dilabel rasis. Mahu diha­rap Pas, parti itu sudah tidak ketahuan arahnya.

PKR dari sejak ditubuhkan tidak lain hanya lebih sibuk mengurus masalah moral ketuanya sehinggakan apa sa­ha­ja ‘benda’ asing yang disogok akan diterima. Dan, terlalu naif jika ada sesiapa yang mengharapkan DAP dapat mem­­perjuangkan nasib Melayu. Tiada tanda-tanda, jauh panggang dari api.

Dalam keadaan Melayu, Islam dan institusi raja dihambat dengan ancaman dari segenap penjuru dan pilihan raya umum berbaki tiga tahun lagi, UMNO bertungkus lumus mem­betulkan rumahnya agar terus relevan dengan tun­tutan dan harapan orang Melayu terutama golongan muda.


Sekali lagi perhimpunan kali ini diadakan dalam keadaan orang Melayu masih berpecah belah. Perasaan gusar dan rasa terancam orang Melayu yang menjadi tunjang kepada kemakmuran bernegara yang dinikmati selama ini semakin meluas. Sebab itu pertemuan kali ini lebih kepada ujian tahap mana UMNO mahu mendengar suara orang Melayu selain membetulkan tingkah pemimpin-pemimpinnya yang masih terlihat lebih sibuk menguruskan kepentingan diri sendiri.

Apakah UMNO benar-benar telah berubah? Kunci uta­ma kepada transformasi adalah ketua bahagian. Ketua ba­hagian yang sentiasa peka dengan persekitarannya, kreatif berinteraksi dengan masyarakat termasuk me­na­wan ahli baharu dan mampu berfikir di luar kotak. Ra­sa­nya tidak sukar untuk mengenal pasti ketua bahagian yang bertingkah songsang, hanya bijak mencatur strategi bagi mengukuhkan kedudukannya sedangkan rakyat di persekitarannya tidak dipedulikan.

Orang Melayu kini semakin gusar kerana masa depan yang samar. Apa yang dilakukan belum mencukupi. Bi­langan orang Melayu sahaja bertambah tetapi kualiti hidup relatifnya tiada anjakan yang signifikan. Pokoknya, orang Melayu berasa masih tertinggal di negara sendiri.

Menggugat

Orang Melayu melihat pe­man­suhan Akta Keselamatan Da­­lam Negeri (ISA) tambah meng­­gugat kedudukan paksi-paksi asas negara. Ketiadaan ak­ta pencegahan itu telah me­nyebabkan agama, negara dan bangsa terdedah dengan an­ca­man. Sebab itu UMNO me­ngambil langkah yang betul ji­­­ka kelak menolak saranan un­­tuk memansuhkan Akta Ha­sutan 1948. Siapakah yang ber­sungguh-sungguh mahukan ak­ta itu dimansuhkan? Mengapa perlu dilayan pembangkang dan kumpulan NGO mereka?


Pembangkang di Malaysia me­mang aneh. Tidak berbaloi me­nuruti kemahuan dan de­sa­kan mereka. Dulu menen­tang pembangunan mega, se­telah berkuasa lakukan hal sa­ma. Dulu mengecam pe­ngam­bilalihan syarikat tetapi itulah yang mereka lakukan apabila ber­kuasa.

Dulu menentang Kidex (Le­buh raya Bertingkat Da­man­sa­­­­ra-Kinrara) kini me­nyo­kong projek itu dengan ca­tatan “kita gunakan cara berbeza”. Du­lu menghasut rak­yat membenci KLIA, Pu­trajaya dan lebuh raya kini ma­hu membina terowong da­sar laut yang belanjanya juga berbilion ringgit.

Sama juga dulu mengecam IPP (pengeluar tenaga bebas) kerana lubuk mudah mengaut keuntungan tetapi mereka ce­pat-cepat mengherdik ke­ra­jaan apabila mahu mengam­bilalih IPP. Bagi pakatan pem­bangkang, tugas mereka hanya semata-mata mahu me­nunjukkan kerajaan yang ada adalah buruk dan tidak relevan daripada segala sisi. Hal yang sama nescaya akan mereka lakukan kepada Akta Hasutan.

Dalam pada itu, kos sa­ra hidup yang semakin meng­him­pit rutin harian ter­u­tama Melayu bandar se­lain rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan perlu diselesaikan segera. UMNO harus diihat mengambil daya usaha mem­be­tul­kan kepincangan ini.

UMNO harus dilihat sebagai sebuah parti yang sihat. Parti yang sihat seharusnya mempunyai ciri-ciri mudah didekati, inklusif dan kepemimpinan yang berkesinambungan selain khidmat kepada khalayaknya dapat dirasai.


Kesederhanaan kerajaan yang dijadikan alasan kepada pihak-pihak tertentu sesuka hati mengadaptasi nilai-nilai song­sang yang menjadi ancaman kepada agama, bangsa dan negara juga perlu ditangani secara bijaksana. Dalam ke­adaan kerajaan sukar melakukan kawalan berikutan langit sudah terbuka dan dunia tanpa sempadan, UMNO mesti menggunakan segala cara untuk meyakinkan rakyat bahawa parti ini tetap tegar mempertahankan Melayu dan memayungi kaum-kaum lain.

Dalam keadaan kejernihan berfikir dan ketulusan hati dilihat semakin menjauhi sanubari sebahagian pemimpin akar umbi UMNO, parti ini perlu segera mengambil inisiatif menangani kepincangan ketara itu. Sekali lagi kata kuncinya ialah ketua bahagian. Mahu dibawa ke mana UMNO ba­nyak bergantung kepada sikap dan cara berfikir ketua ba­ha­gian dalam menanggapi aspirasi dan harapan rakyat.Ketua bahagian jugalah yang perlu bijak menasihati dan membetulkan salah tingkah pemimpin kanan parti.

Yang jelas, koordinasi dan sinergi antara semua peringkat parti perlu diperkemaskan lagi. Jangan ada sikap berasa pa­ling berjasa dan paling berperanan dalam kalangan pemimpin parti kerana mereka kini menghadapi bukan sekadar cabaran tetapi ancaman yang berbeza.

Oleh : Warung Rakyat

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: