Ahad, Mei 27, 2012

Wall Street Journal beri pendapat kenapa Anwar patut mengaku bersalah!



Pelbagai pandangan diberi melalui media dan ruang siber selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa di mahkamah baru-baru ini atas tuduhan melanggar undang-undang ketika demonstrasi jalanan Bersih 3.0 di sini 28 April lepas.

Ketiga-tiga mereka juga dikenakan pertuduhan menghasut Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim supaya membuka sekatan di sekeliling Dataran Merdeka di Jalan Raja di sini, yang dilarang dimasuki peserta perhimpunan, pada hari sama.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan itu. Mereka merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA), yang berkuatkuasa mulai tahun ini.

The Wall Street Journal (WSJ), akhbar harian kewangan antarabangsa yang amat berpengaruh menyiarkan pendapatnya yang mengatakan Anwar patut mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu sekiranya beliau percaya perubahan yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memadai.

Rencana berkenaan bertajuk "Malaysian People"s Court, Anwar"s civil disobedience and the next election", berpendapat cara lebih jelas untuk menyakinkan orang ramai bahawa PPA merupakan undang-undang yang tidak adil ialah dengan mengaku bersalah dan membayar denda menjelang berlangsungnya pilihan raya umum.

Rencana berkenaan yang disiar dalam ruangan “Review and Outlook Asia" pada Khamis berkata, dengan mengambil kira segala ranjau dan duri yang dilalui Anwar sebelum ini termasuk dua kali menghadapi pertuduhan berkaitan liwat dan dua kali juga dibebaskan, “mungkin ada orang yang membuat tanggapan bahawa ini satu lagi pendakwaan yang bersifat politik". "Bagaimanapun, kes ini berbeza. Anwar bertindak melanggar tuntutan sivil dan kini beliau perlu menanggung padahnya.

"Keputusan sebenar akan datang daripada peti undi pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan lewat tahun ini apabila pengundi akan memutuskan sama ada perubahan politik yang dilaksana Najib berjalan pada kadar yang sewajarnya, atau Anwar bertindak betul dengan mendesak perubahan dilaksana dengan lebih pantas".

Akhbar itu seterusnya menulis “Jika Anwar ingin melanggar tuntutan sivil, beliau tidak boleh berpura-pura tidak bersalah, pada waktu yang sama." WSJ berkata, walaupun Najib patut diberi pujian kerana melakukan perubahan, pembangkang juga mempunyai alasan kukuh untuk mengkritiknya sebagai tidak memadai.

"Persoalan sebenar ialah sama ada masyarakat Malaysia lebih memerlukan perubahan pada kadar lebih pantas atau taktik konfrontasi yang dianjur pembangkang," kata rencana itu. - UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: