Rabu, Mei 30, 2012

Polemik ‘undi Pas masuk syurga’...?



Dua minggu lalu, Nik Aziz Nik Mat menegaskan dalam sebuah akhbar bahawa Pas akan terus berkempen menggunakan soal syurga dan pahala. Kenyataan ini dibuat berikutan pandangan Ahli Parlimen Kota Belud bahawa Pas mengamalkan rasuah politik apabila menjanjikan ‘undi Pas masuk syurga’.

Mursyidul Am Pas itu menganggap sesiapa yang membangkitkan soal ini sebagai meracau manakala Pesuruhjaya Pas Selangor menambah bahawa pemimpin Umno tidak memahami konsep ‘undi Pas masuk syurga’ tanpa menjelaskan apakah konsep sebenarnya.

Ini isu lama tapi tahun lalu, Nik Aziz membangkitkannya semula dengan mengecam dan mengesahkan pihak yang mengaitkan Anwar Ibrahim dengan video seks sebagai tidak boleh masuk syurga.

“Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga),” katanya semasa berkuliah di Dataran Ilmu, Kota Bharu pada 13 Mei 2011.

Ada rakan-rakan mengingatkan bahawa mereka pernah beberapa kali diancam masuk neraka oleh Nik Aziz jika menulis sesuatu yang tidak benar mengenai Pas atau yang tidak disukainya.

Pada ayat 111 Surah al-Baqarah disebut dakwaan orang Yahudi bahawa syurga adalah untuk pengikut mereka sahaja. Cuba fikirkan, banyakkah beza antara ‘undi Pas masuk syurga’ dengan amalan Yahudi seperti yang dinyatakan dalam al-Quran?

Padahal ALLAH SWT menegaskan bahawa semua itu adalah angan-angan Yahudi dan Kristian. Dalam ayat 113 surah yang sama, ALLAH menyebut bahawa orang Quraisy yang musyrik juga ikut serta dalam polemik itu. Rumusan kepada kedua-dua ayat ini ialah penentuan masuk syurga hanya akan ditentukan oleh ALLAH pada hari pengadilan di hari kiamat nanti.


Dalam ayat 123 Surah an-Nisa’, ALLAH menjelaskan, orang Islam tidak boleh angkuh dan menganggap bahawa mereka saja yang akan masuk syurga dan orang lain tidak kerana penentuan terhadap perkara ini hanyalah oleh ALLAH SWT.

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun. Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) ALLAH menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-NYA.”

Janji ALLAH dalam ayat 124-125 dalam surah ini adalah kepada mereka yang mengerjakan amal soleh,serta orang beriman kepada ALLAH dan Rasul. Tidak pula disebut untuk mereka yang mengundi Pas.

Mungkin pandangan ini akan mengundang reaksi daripada penyokong Pas. Namun, kita tetap bertanggungjawab memperbetulkan persepsi yang salah atau yang mengelirukan masyarakat. Isu ini sepatutnya tidak diungkit lagi atau dijadikan umpan politik oleh Pas untuk memenangi pilihan raya, namun setiap kali pilihan raya, Pas tetap jadikannya bahan kempen.

Ahli Parlimen Pasir Mas pernah mengupas isu ini dalam salah satu ceramahnya. Kata beliau: “Tok Guru pernah kata ambo masuk nerako. Memang benar ambo masuk nerako. Tapi bila ambo masuk, ambo tengok dia ada dah duduk cokoh dalam tu.”

Cerita ini tentunya tidak benar. Ini cara Ibrahim Ali menyindir dan memulang paku buah keras. Tapi mesejnya jelas, beliau juga berpendapat agama, syurga dan pahala bukanlah hak eksklusif pengundi Pas.

Malah, ada ulama termasuk pengasas Pondok Geting di Tumpat, Kelantan, Ustaz Abdullah Sa’amah yang berpendapat adalah berdosa mengundi Pas kerana parti itu sudah tersasar dan bersekongkol dengan parti cauvinis anti-Islam dan pemimpin yang sokong Yahudi.

Itu belum lagi masuk bab mengkafirkan orang Umno yang bermula sejak 1950an, sembahyang dua imam, memulau kenduri sesama Muslim, bercerai suami isteri dan mengadakan kubur berasingan kerana perbezaan ideologi politik.-SN

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: