Rabu, Mei 23, 2012

Himpunan Jutaan Belia sasar kumpul dua juta belia Malaysia!



Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk menghimpunkan seramai dua juta golongan muda pada Himpunan Jutaan Belia sempena sambutan Hari Belia Negara yang akan diadakan Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, program himpunan belia dari seluruh negara itu akan diadakan bermula 23 hingga 27 Mei 2012 di Putrajaya.

Beliau berkata, acara tahunan itu akan tetap diadakan di Putrajaya memandangkan ia adalah pentas terbesar yang mampu menghimpunkan seramai dua juta belia.

"Jika tahun lalu sebanyak 200 aktiviti telah diadakan selama tiga hari dan kita berjaya mengumpulkan sejuta belia, pada tahun ini selama lima hari kita akan himpunkan dua juta belia di Putrajaya. Jadi semua belia di negara ini patut hadir," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad: Transformasi Kepimpinan Belia Meniti Cabaran Wawasan 2020 di sini baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan pada Mei ini termasuk pelancaran Himpunan Jutaan Belia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, konsert artis antarabangsa, promosi jelajah seluruh negara, pameran kerjaya, temuduga terbuka, motivasi kerjaya, pelancaran segmen modal insan, program bercorak keagamaan, pameran dan jualan, perbarisan terbesar pasukan beruniform dan banyak lagi.

Secara keseluruhannya, sebanyak 500 aktiviti telah diaturkan sepanjang seminggu sambutan Hari Belia Negara itu diadakan nanti.

Sambutan Hari Belia Negara disambut bagi memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan belia di negara ini yang turut memain peranan menyumbang pelbagai jasa kepada kerajaan dan negara.

Lebih menarik, acara itu bakal dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara bagi menggalakkan pelancong terutama dari luar negara merasai kemeriahan program sambutan khas bagi golongan belia di Malaysia.-UMO


Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: