Rabu, Mei 02, 2012

Anwar dan Azmin terkedu, pembohongan mereka 'dilondehkan' wartawan!


Ibarat senjata makan tuan! Pembohongan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim serta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kononnya polis yang memulakan kekecohan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 Sabtu lalu akhirnya memakan diri.

Pihak yang melondehkan pembohongan Anwar dan Azmin itu pula adalah kumpulan wartawan daripada media arus perdana, agensi berita luar negara, media propembangkang serta portal berita yang bersatu mengasak mereka semasa sidang media di Ibu pejabat PKR, di sini semalam.

Akibatnya, Anwar dan Azmin terpaksa menahan malu kerana setiap pembohongan mereka dipatahkan kumpulan wartawan berkenaan memandangkan rata-rata petugas media terbabit melihat sendiri arahan Ketua Pembangkang agar peserta demonstrasi merempuh halangan polis.


Malah cubaan Anwar menggunakan taktik kegemaran beliau iaitu melabelkan petugas media yang bertanya soalan panas sebagai balaci UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga gagal apabila wartawan Agenda Daily, Roslan Bian, secara keras menyanggah tuduhan tersebut.

Dalam pada itu, tindakan Azmin menuduh wartawan yang mendedahkan arahan beliau bahawa 'Dataran Merdeka boleh masuk' sebagai berbohong juga dibalas secara keras apabila petugas media terbabit berkata, dia berada bersebelahan Azmin ketika itu.

"Saya berada hampir dengan Yang Berhormat dan saya mendengar dengan jelas kata-kata Yang Berhormat kepada peserta demonstrasi bahawa 'Dataran Merdeka boleh masuk...boleh masuk'," kata wartawan portal berita Malaysian Digest's, Shaik Mohamad Amin Shaik Alaudin.



Tertekan dengan keadaan itu, Anwar dan Azmin cuba mengalih isu dengan berkata, kehadiran peserta yang didakwa seramai 300,000 orang lebih besar daripada isu merempuh halangan polis sehingga menimbulkan huru-hara.

Namun Ketua Pembangkang itu sekali lagi tersentak apabila seorang peserta demonstrasi Bersih 3.0, Benjy Lim yang turut berada dalam sidang media tersebut secara tiba-tiba menyergah dan mendakwa Anwar bertanggungjawab mencetuskan keadaan huru-hara.

Beliau berkata, tindakan Anwar itu telah menyebabkan nyawanya dan peserta demonstrasi lain yang datang untuk berhimpun secara aman bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil terdedah kepada bahaya.

"Saya tahu cara polis beroperasi di negara ini kerana saya bukan baru sehari hidup, rusuhan itu berpunca kerana pembangkang yang memulakan," katanya menyanggah jawapan Anwar yang berterusan menyalahkan pihak polis.

Gagal menjawab segala dakwaan Benjy secara objektif, Anwar akhirnya berjanji akan 'melayan' lelaki itu pada sesi lain kerana sidang media yang dianjurkan tersebut hanya khusus untuk wartawan dan bukan platform untuk pihak yang tiada kaitan dengan media.

Kan dah kantoi namanya..!!!

















Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: