Ahad, Mei 20, 2012

BPR siasat dakwaan Murad..!!! Rakyat hendak tahu bagaimana hasil siasatan kes ini?



Berita Minggu, 31 Oktober 1999

SEREMBAN: Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Kementerian Kewangan mula menyiasat dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berhubung dakwaannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun induk bank berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya.

BPR sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan diketuai Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris. Di SUNGAI PETANI, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin, berkata siasatan itu penting untuk memastikan siapa yang bersalah supaya tindakan terhadap mereka dapat diambil.


Menurutnya, siasatan itu juga dapat membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan Abdul Murad terhadap Anwar yang disertakan Akuan Berkanun dengan ikrar di hadapan Persuruhjaya Sumpah.

"Surat sumpah bukan boleh main-main, saya percaya seseorang tidak akan buat surat sumpah kalau tidak ada bukti," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan dan beras kepada 388 keluarga mangsa banjir di kawasan Parlimen Merbok dekat Sungai Petani semalam, Daim berkata, jika dakwaan berkenaan tidak benar, pihak terbabit boleh mengambil tindakan terhadap Abdul Murad.

Beliau juga berkata, siasatan perlu bagi memastikan semua kakitangan Bank Negara bekerja cekap, amanah, bertanggungjawab dan tidak ada penyelewengan.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Husin menyifatkan setiap perenggan dalam akuan bersumpah Abdul Murad adalah maklumat mengenai rasuah.


BPR menganggap pengakuan Abdul Murad tidak seperti maklumat biasa kerana dakwaannya adalah maklumat akuan bersumpah. Esok, Ahmad Zaki akan mempengerusikan mesyuarat dengan pegawainya untuk menentukan bidang tugas pasukan penyiasatan itu.

"Tindakan pertama ialah memangggil Abdul Murad bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kenyataannya dalam akuan bersumpah itu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sehari BPR bersama wargatua di Rumah Seri Kenangan di sini, semalam.

Khamis lalu, Abdul Murad melalui akuan bersumpahnya mendedahkan salah laku bekas Timbalan Perdana Menteri, termasuk mempunyai akaun induk berjumlah RM3 bilion untuk mencapai cita-cita politiknya. Selain individu, turut dikaitkan dengan Anwar dalam akuan bersumpah itu ialah beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Ahmad Zaki mengakui bahawa berdasarkan akuan bersumpah itu, kes itu rumit kerana membabitkan banyak bank dan pengendalian akaun, termasuk akaun induk seperti yang disebutkan dalam akuan bersumpah.


Selain itu, katanya ada banyak dakwaan dan ramai orang terbabit menyebabkan BPR akan membuka lebih daripada satu fail dalam siasatan itu. Walaupun rumit, katanya BPR yakin dapat mengendalikan kes itu kerana mempunyai pengalaman mengendalikan kes rasuah yang rumit sebelum ini, malah membawa kes itu ke mahkamah.

Beliau berkata, BPR akan mendapatkan bantuan pakar, termasuk dari Bank Negara dan Kementerian Kewangan untuk memberi khidmat nasihat dalam aspek siasatan. Selain itu, kerjasama daripada nama mereka yang disebut dalam akuan bersumpah itu juga penting.

Menurutnya, penyiasatan ditumpukan terhadap aspek rasuah yang terkandung dalam akuan bersumpah. "Saya fikir hampir setiap perenggan dalam akuan bersumpah itu adalah maklumat mengenai rasuah. Jadi kami akan menyiasat setiap aspek itu," katanya.

Mengulas beberapa pihak yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu berada di luar negara, katanya, BPR akan mendapat kerjasama agensi terbabit di negara berkenaan. Sebagai contoh jika di Amerika Syarikat, katanya BPR akan mendapatkan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan mungkin Polis Antarabangsa (Interpol).

"Untuk tujuan bukti, BPR akan merujuk kepada Peguam Negara untuk mengaturkan bagaimana keterangan itu boleh dibawa ke mahkamah negara ini," katanya.


Sementara itu, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa BPR tidak bebas menjalankan siasatan itu. Sejak tujuh bulan saya menjadi Ketua Pengarah, tidak ada sesiapa yang mencampuri siasatan BPR. Tidak ada masalah, tidak timbul isu menyatakan BPR tidak bebas dalam siasatan.

"Saya tidak kata maklumat dalam akuan bersumpah itu maklumat betul atau palsu. Tidak tahulah betul atau tidak. BPR apabila menerima maklumat tidak mempunyai pilihan, kita akan menyiasat," katanya.

Beliau berkata, masalah sebenar yang dihadapi ialah orang ramai yang mempunyai maklumat penting tidak mahu membantu BPR menyebabkan agensi itu disangka tidak menjalankan kerja. Dalam kes Abdul Murad, katanya tidak ada siapa menyangka bekas Penolong Gabenor itu akan berbuat demikian.

"Mengapa tidak dulu lagi datang berjumpa kita. Kalau dari dulu pun, BPR siasat juga. Begitu juga dengan orang lain yang mempunyai maklumat, mengapa tidak datang," katanya.

Komen : Dimana hasil siasatan kes ini? Sudah lebih 10 tahun rakyat menunggu, BPR pun sudah ditukar kepada SPRM, namun mengapa sampai sekarang diam membisu?

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: