Khamis, Mac 06, 2014

Tolak Anwar di Kajang?


Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam utama negara hari ini menggesa pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang agar menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada memenangi pilihan raya itu.

Mereka membayangkan masalah besar akan timbul kepada rakyat Selangor dan juga negara ini, sekiranya Anwar menang dalam pilihan raya itu dan seterusnya melantik dirinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sehubungan itu, kumpulan itu yang terdiri daripada Jalur Tiga Malaysia (Jati), Yayasan Murni Aqidah, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (Muslim UPRo) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa pengundi menolak Anwar, sekali gus menghalang hasratnya untuk menerajui Selangor.

NGO-NGO Islam berkenaan turut sepakat akan menggerakkan seluruh kekuatan kolektif yang ada untuk turun padang bagi memberikan penerangan kepada penduduk DUN Kajang mengenai kemungkinan langkah-langkah yang akan diambil Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu jika beliau menang di DUN Kajang.

Jurucakap kumpulan tersebut, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, berdasarkan kenyataan-kenyataan Anwar yang dilaporkan sebelum ini, pihaknya bimbang beliau akan menggunakan kuasa Menteri Besar untuk menstruktur semula sistem perundangan dan pentadbiran negeri bagi disesuaikan dengan prinsip liberalisme, pluralisme serta tuntutan sosial yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia.

Selain itu, dakwanya, strategi turun ke jalan raya mungkin sekali lagi digunakan oleh Anwar untuk meruntuhkan sistem sedia ada dan keadaan itu dikhuatiri boleh mewujudkan pergolakan antara rakyat Selangor yang mungkin merebak ke seluruh negara.

"Pengundi DUN Kajang terutamanya umat Islam diminta tidak termakan dengan 'gula-gula' Anwar, sebaliknya menolak beliau atas nama akidah Islamiah," katanya dalam satu sidang akhbar di kediaman beliau di sini hari ini.

Yang turut serta, Pengerusi Yayasan Murni Aqidah, Datuk Aidit Ghazali; Pengerusi Pembela, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin, Pengerusi Muslim UPRo, Azril Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Kapten (B) Dr. Shamsuddin Moner.

Menurut Hasan, pengkaji politik di kalangan NGO Islam juga mengenal pasti 20 alasan syarie mengapa pengundi perlu menolak Anwar dalam PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Katanya, antara alasan tersebut adalah berhubung pandangan Anwar dalam pluralisme agama, pergerakan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan konsep penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

"Itu hanya sebahagian sahaja daripada fakta-fakta pokok lain seperti persoalan moral dan akhlak termasuk integriti dan kredibiliti yang akan kami dedahkan menjelang PRK DUN Kajang nanti.

"Fakta-fakta ini jika dicantumkan akan menjadi hujah yang paling kental mengapa pengundi Kajang khasnya dan rakyat Malaysia umumnya mesti menolak hasrat Anwar untuk menerajui Selangor," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: