Isnin, Mac 10, 2014

Sudahlah Anwar...!!! Jangan lagi heret rakyat?


Anwar Ibrahim digesa supaya tidak 'melatah' dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun setelah didapati bersalah meliwat.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Anuar Shaari berkata, Anwar perlu akur dengan keputusan itu dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi yang mungkin akan memburukkan keadaan.

"Anwar masih ada peluang untuk melawan kes beliau sekiranya tidak berpuas hati. Saya cuma mohon kepada beliau dan 'konco-konconya' agar tidak melakukan apa-apa provokasi yang menyusahkan rakyat.

"Tidak perlu melakukan apa-apa demonstrasi yang boleh mendatangkan keadaan huru-hara. Cukuplah insiden 1998 dulu, jangan cuba ulangi lagi. Hormatilah keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mahkamah Rayuan Jumaat lalu memutuskan Anwar didapati bersalah oleh atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari pada 2008, sekali gus menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Ketua Umum PKR itu.


Sementara itu, Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, penyokong PKR diminta menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang telah memutuskan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat.

Serentak dengan itu, katanya, seluruh pimpinan PKR perlu mencari calon lain yang lebih berkelayakan untuk menggantikan Anwar yang sudah terpalit dengan kesalahan meliwat itu.

Katanya, tindakan sedemikian hanya dianggap sebagai 'menzalimi' Anwar jika mereka tetap meletakkan Anwar untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana beliau sudah cukup terbeban dengan keputusan mahkamah itu.

"Saya berharap semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan ini sebagaimana kami menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar.

"Dalam hal ini, kita yakin PKR mempunyai maruah, menjunjung demokrasi dan kedaulatan undang-undang serta tidak akan memaksa rakyat mengadakan demonstrasi.


"Saya juga berharap pihak berkuasa tidak teragak-agak memastikan kesejahteraan negara serta tidak menggadaikan rakyat hanya kerana seorang manusia yang sudah terpalit dengan kesalahan liwat," katanya.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim pula berkata, Anwar diminta tidak menggunakan taktik lama dengan melemparkan tuduhan bukan-bukan kepada kerajaan bahawa keputusan mahkamah itu merupakan campur tangan daripada Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, kata beliau, penyokong Anwar termasuk parti pembangkang lain diminta akur serta hormat dengan keputusan mahkamah itu dan tidak mudah melatah dengan mengadakan demonstrasi.

"Kita tahu dalam sistem kehakiman Anwar masih ada ruang untuk membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan, namun kita harap penyokong beliau tidak terus melatah dan menghormati keputusan ini.

"Jelas di sini kita ada kebebasan kehakiman yang dijamin, oleh itu, jangan ada orang cuba mentafsirkan berlaku campur tangan politik kerajaan dalam sistem ini," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: