Rabu, Mac 12, 2014

Misteri belum terungkai?

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pihak berkuasa Indonesia setelah gagal menemui bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang pada 2007.

Apabila negara dihebohkan dengan kisah pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu lalu, yang terlintas di fikiran kita sudah tentulah satu insiden hampir sama yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia.

Pada 1 Januari 2007, pesawat Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, Sulawesi.

Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu.

Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui.

Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah mematikan alat pemanduan automatik bagi membaiki Sistem Rujukan Inersia (IRS).

Ketika sibuk membuat pembaikan tiada siapa yang menerbangkan pesawat sehingga menyebabkan ia mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut.

Walaupun masih awal untuk merumuskan apa yang berlaku pada pesawat Boeing 777-200 milik MAS, sesuatu yang harus diakui bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) dalam misi menyelamat pesawat tersebut.

Seperti yang disebut oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Azharuddin Abdul Rahman, pihaknya telah menerima laporan berhubung kehilangan isyarat pesawat itu pada 1.30 pagi iaitu 49 minit selepas pesawat itu berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

DCA telah bertindak serta-merta untuk mengesan semula kedudukan pesawat berkenaan dengan bantuan pihak-pihak berkenaan dari Vietnam dan Singapura.

Pihak MAS turut dimaklumkan dengan segera oleh DCA yang kemudiannya telah bertindak pantas memaklumkan kedutaan dan konsulat yang mempunyai rakyat yang menaiki pesawat tersebut.

Syarikat itu turut menubuhkan Pusat Kawalan Respons (RCC) bagi menyediakan maklumat berterusan, kemudahan perjalanan untuk kaum keluarga ke Kuala Lumpur, tempat tinggal, makanan dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa.


Segala yang dilakukan oleh syarikat itu seharusnya dihargai oleh semua pihak. Seperti yang telah diluah ayah kepada pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohd. Sofuan Ibrahim yang turut hilang, Ibrahim Abd. Razak, MAS dan pihak-pihak berkaitan sangat membantu dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal yang selesa dan akses maklumat.

"Alhamdulillah, tiada apa yang perlu dirisaukan dan rungutan, cuma hati sendiri yang masih belum tenang selagi perkara ini belum selesai," katanya kepada portal berita, Malaysia Gazette.

Satu lagi yang harus dipuji adalah kerjasama yang ditunjukkan oleh semua negara untuk melaksanakan operasi dan menyelamat termasuk Vietnam, China, Singapura, AS, Thailand, Indonesia dan terbaharu Australia di kawasan lautan yang kini menjadi pertikaian banyak negara.

Untuk mencari pesawat di lautan yang luas adalah cukup payah dan ia terbukti apabila bangkai pesawat Air France 447 jenis Airbus A330 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 6 Jun 2009 hanya ditemui enam hari selepas itu dan kotak hitam pula hanya dapat dikeluarkan dari laut dua tahun kemudian.

Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai rekod bersih yang tidak pernah mengalami kemalangan udara dahsyat kecuali penerbangan MH653 yang meletup dan terhempas bersama 93 orang di Tanjung Kupang, Johor pada 1977; sebenarnya terdapat banyak faktor di luar kawalan yang mungkin menyebabkan tragedi itu berlaku.

Walaupun pesawat Boeing 777-200 itu dikatakan pernah mengalami patah pada hujung salah satu sayap setelah berlanggar dengan pesawat China Eastern Airline, Airbus A340 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, China pada 2012, masalah yang akan berlaku hanyalah ketika mendarat atau berlepas.

Sebaliknya, kata bekas jurutera keselamatan Boeing yang juga Pengarah Airsafe.com Foundation, Todd Curtis, tragedi berlaku ketika pesawat sedang dalam penerbangan dengan kelajuan tinggi.

"Satu kemungkinan adalah tragedi berlaku terlalu pantas sehingga juruterbang tidak sempat menghantar isyarat kecemasan," katanya lagi kepada AP.

Dalam pada itu, pensyarah yang pakar dalam kemalangan pesawat daripada Universiti Aeronautik Embry-Riddle, AS, William Waldock turut sependapat dengan Curtis bahawa tragedi yang berlaku adalah secara tiba-tiba dan sangat ganas sehingga alat penentu lokasi pesawat tidak berfungsi.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kerosakan mekanikal termasuk kedua-kedua enjin tidak berfungsi, juruterbang masih mempunyai masa untuk membuat panggilan kecemasan.

Untuk rekod, Boeing 777-200 mempunyai rekod keselamatan yang paling selamat selama 18 tahun dengan hanya satu tragedi melibatkan pesawat Penerbangan Asiana yang terhempas dan membunuh tiga orang pada tahun lalu.

Para pakar keselamatan penerbangan kini berpendapat terdapat dua kemungkinan tragedi itu terjadi sama ada angkara pengganas atau juruterbang sendiri sengaja menghempaskan pesawat ke laut.

Perkara sama dinyatakan akhbar United Kingdom, Sunday Mirror yang memetik pakar antipengganas, Kolonel Richard Kemp, bahawa kumpulan militan Islam Uighurs atau mereka yang bersimpati dengan mereka mungkin terbabit dengan kejadian tersebut.

Walaupun terdapat petunjuk ke arah itu, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga kotak hitam pesawat terbabit ditemui seperti dalam kes pesawat 737-400 Adam Air.

Tambahan pula, data pemantauan awal yang diperiksa oleh pihak tentera AS, Pentagon hari ini mencadangkan pesawat MAS yang hilang, tidak meletup di Laut China Selatan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: