Khamis, Oktober 17, 2013

Jenice desak siasat Timbalan Pengerusi DAP...!!! Guan Eng mau kata apa?

Jenice Lee (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis terhadap Tan Kok Wai kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya ketika ditemui di Balai Polis Pandan Indah, Kuala Lumpur, semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan segera dijalankan ke atas Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di beberapa akhbar Cina pada April lalu.

Jenice mendakwa, kenyataan Kok Wai pada 24 April lalu bahawa beliau terlibat dengan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa adalah amat serius kerana dilemparkan tanpa bukti yang kukuh.

"Kenyataan Timbalan Pengerusi itu mengenai saya di China Press, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh, Guang Ming Daily dan Oriental Daily menyebabkan rakyat telah hilang kepercayaan terhadap saya. Saya juga telah dipandang serong oleh masyarakat akibat penyiaran fitnah itu.

"Saya menafikan semua kenyataan fitnah dikeluarkan Kok Wai dan menggesa pihak polis menyiasat kes ini di bawah Seksyen 500 dan 501 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574)," katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Pandan Indah di sini selepas membuat laporan.


Jelas Jenice, antara dakwaan Kok Wai dalam akhbar berkenaan adalah berkaitan isu tembok keselamatan di Taman Seraya dan salah guna kuasa dalam meluluskan projek kepada syarikat milik pembantunya, Lee Hsuan Ba.

Dakwanya, akhbar tersebut melaporkan bahawa Jenice sedar Hsuan Ba telah menyalahguna kuasa dan terlibat dalam kes penyelewengan namun beliau tidak mendedahkan perkara itu.

"Kok Wai membuat kenyataan bahawa saya cuba menyembunyikan kebenaran berkenaan isu itu. Itu adalah tidak benar," katanya.

Menurut Jenice, kenyataan-kenyataan fitnah itu telah memberi impak negatif sehingga beliau digugurkan sebagai calon untuk bertanding bagi kerusi DUN Teratai pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu selain dihujani dengan pelbagai kritikan dan tohmahan daripada masyarakat.

Dalam pada itu, Jenice turut menggesa jawatan Kok Wai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP digantung berikutan sehingga kini, Kok Wai gagal menyelesaikan penyiasatan terhadapnya.


"Sudah lima bulan, tiada pihak berkuasa antaranya mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau kerajaan negeri membuktikan saya terlibat dalam kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Sehubungan itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kok Wai terhadap saya ketika pilihan raya adalah semata-mata fitnah," katanya.

Sementara itu, beliau turut mempertikaikan tindakan Kok Wai berhubung status keahliannya.

Katanya, beliau bersama 11 lagi ahli DAP yang dipecat oleh Kok Wai tanpa mengikut Perlembagaan parti, telah menerima surat tunjuk sebab pada 10 Oktober lalu.

"Saya berasa keliru bagaimana saya boleh dipecat pada 20 April lalu kemudian digantung keahlian selama enam bulan pada 23 April lalu dan dijemput untuk mengundi di pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 29 September. Malah, surat rayuan telah dihantar 4 Jun lalu tetapi langsung tidak dibincangkan.

"Sehubungan itu, Kok Wai harus digantung jawatannya atas fitnah, ketidakjujuran, memecat ahli secara tidak adil dan mempraktikkan double standard. Beliau harus disiasat oleh satu jawatankuasa khas dengan serta-merta supaya sikap bertanggungjawab dapat diamalkan dalam parti DAP," katanya. -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: