Rabu, Februari 12, 2014

Nampaknya Anwar gagal sekali lagi?



Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat akan diteruskan di Mahkamah Rayuan esok setelah beliau gagal dalam usaha terakhirnya untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Rayuan tersebut dijadualkan didengar selama dua hari sehingga Khamis ini setelah Mahkamah Persekutuan hari ini buat kali kedua menolak rayuan Anwar berhubung pelantikan Muhammad Shafee itu.

Bagaimanapun, sebelum rayuan pihak pendakwaan didengar, Muhammad Shafee yang mengetuai pasukan tersebut akan berdepan permohonan terbaharu Anwar untuk mendapatkan kebenaran memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes itu, Supritendan Jude Blacious Pereira memberi keterangan.

Anwar mengemukakan permohonan itu supaya mahkamah dapat memutuskan sama ada keterangan Jude dalam perbicaraan kes liwat boleh dipertahankan dan dipercayai setelah permohonan bekas pegawai polis itu untuk menjadi peguam bela dan peguam cara ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.

Pada prosiding hari ini, panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan Anwar selepas mendapati segala dakwaan salah laku yang dikatakan dilakukan oleh Muhammad Shafee seperti dalam akuan berkanun (SD) bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim tidak boleh dibuktikan.


Ujar beliau, persoalan utama yang perlu dibuktikan ialah sama ada terdapat prima facie atau kesahihan terhadap dakwaan salah laku yang kononnya dilakukan oleh peguam senior itu.

"Kami mendapati bahawa SD tersebut merupakan keterangan yang dibuat di luar mahkamah dan kami tidak boleh menerima isi kandungan akuan tersebut.

"Tanpa akuan bersumpah itu, lain-lain dakwaan terhadap Muhammad Shafee boleh dipertikaikan.

"Selain itu, tiada sebarang bukti kukuh untuk membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Oleh itu, rayuan perayu (Anwar) ditolak," kata Hakim Zulkefli.

Yang turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Seri Zaleha Zahari serta Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.


Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berusia 67 tahun itu didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Percubaan kali kedua Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee dibuat setelah beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Disember tahun lalu yang menolak permohonan itu yang bersandarkan kepada SD Mat Zain yang kemudiannya diputuskan sebagai keterangan dengar cakap (hearsay).

Sebelum itu, cubaan kali pertamanya untuk menyingkirkan Muhammad Shafee ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 September 2013 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 21 November tahun sama.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: