Sabtu, Februari 15, 2014

Guan Eng jangan lepas tangan?


Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta tidak bersikap lepas tangan berhubung tindakan sebuah syarikat pemaju di negeri ini yang mengenakan bayaran tambahan terlalu tinggi kepada pembeli rumah pangsa kos rendah di Jalan Permai, Bukit Gambir di sini.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, Guan Eng perlu campur tangan kerana pemaju berkenaan secara terang-terangan telah mencabuli polisi perumahan kos rendah yang digubal Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini.

"Dalam hal ini, pembeli yang majoritinya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah menjadi mangsa sikap rakus pemaju berkenaan dan setakat ini Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya berdiam diri.

"Pembeli dikejutkan pada saat-saat akhir apabila mereka diminta membuat bayaran tambahan untuk kos pengubahsuaian rumah yang dilakukan tanpa pengetahuan dan tidak mengikut pelan serta perjanjian asal yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rahmad mengulas bebanan yang terpaksa ditanggung kira-kira 150 pembeli projek perumahan berkenaan selepas MPPP meluluskan pelan pengubahsuaian yang dibuat pemaju ke atas rumah itu yang harga asal ditawarkan dan dipersetujui adalah RM72,500.

Pelan pengubahsuaian yang diluluskan itu sebanyak RM59,000, diikuti caj lot tempat letak kereta serta lain-lain caj tambahan sehingga RM50,000 menyebabkan harga rumah berkenaan mencecah RM180,000.


Kumpulan pembeli berkenaan yang tidak berpuas hati kemudian membuat aduan dan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo, namun menemui jalan buntu.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, beliau berasa pelik bagaimana MPPP boleh meluluskan permohonan pemaju untuk membuat pengubahsuaian sehingga status kos rendah bertukar menjadi kos sederhana.

"Saya difahamkan kumpulan pembeli berkenaan telah membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Oleh itu, saya berharap satu siasatan terperinci dapat dilakukan," katanya.

Dalam hal ini Rahmad menegaskan, seolah-olah wujud satu gerakan untuk menafikan hak pembeli berkenaan memiliki rumah apabila bayaran tambahan yang dikenakan terlalu tinggi.

"Kumpulan pembeli terbabit terpaksa menanggung pelbagai kesan antaranya mungkin berhadapan dengan masalah pinjaman kewangan daripada pihak bank kerana ada yang bekerja kilang dan terdiri daripada warga emas.

"Ini semua berada di luar kemampuan kewangan mereka dan tidak patut dibiarkan berlaku oleh kerajaan negeri," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: