Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Khamis, Februari 13, 2014
Benarkah Pas pernah pujuk Khalid keluar PKR?
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa pernah dipujuk oleh beberapa pemimpin Pas untuk menyertai parti itu sekali gus keluar daripada parti yang diwakilinya, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut sumber, perkara itu dikatakan pernah dibangkitkan dalam satu pertemuan di antara pemimpin tertinggi Pas dengan Abdul Khalid sebelum ini susulan daripada kemelut dalaman PKR Selangor termasuk perebutan jawatan Menteri Besar.
"Memang ada pertemuan itu sebelum ini yang membincangkan kedudukan Abdul Khalid di Selangor ekoran daripada masalah politik yang dihadapi dalam pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor.
"Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak memberikan sebarang persetujuan mengenai perkara itu kerana dikatakan tidak mahu dianggap sebagai 'mengejar jawatan Menteri Besar' sekiranya bertindak keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Pas mahupun wakil rakyat bebas," kata sumber itu di sini baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, sumber berkenaan tidak menyatakan tarikh sebenar dan lokasi pertemuan tersebut diadakan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai pergolakan PKR di Selangor ekoran tindakan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali mengkritik pentadbiran Abdul Khalid membabitkan isu-isu tertentu termasuk pemecatan 23 kakitangan PKNS Holdings Berhad (PNHB) pada 4 Februari lalu.
Malah Azmin juga dilaporkan pada 7 Februari lalu secara terbuka mengecam tindakan pemecatan kakitangan PHSB itu selain mendakwa Abdul Khalid menggunakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.
Selain kritikan serta kecaman terhadap pentadbirannya, Abdul Khalid turut dikaitkan dengan desakan kuat daripada PKR sendiri yang mahu beliau berundur dan jawatan Menteri Besar digantikan dengan individu lain daripada kalangan pemimpin PKR.
Berdasarkan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid pada 5 Februari lalu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu sendiri mengakui PKR telah menetapkan pendirian supaya Abdul Khalid perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar dan digantikan dengan pemimpin lain dalam kalangan parti berkenaan.
Menurut Abdullah Sani, pendirian itu adalah satu keputusan yang telah diperakui oleh semua kepimpinan PKR sama ada di peringkat pusat atau negeri.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam satu laporan akhbar pada 8 Februari lalu membayangkan Abdul Khalid akan mengambil alih jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sekiranya Penasihat PKR itu menjadi Menteri Besar negeri ini.
Anwar dilaporkan membuat kenyataan sedemikian menerusi temuramah dengan saluran televisyen Australia, Newsline pada Khamis lalu yang mana Ketua Pembangkang itu turut menyatakan perkara tersebut sedang dibincangkan dengan Abdul Khalid.
Bagaimanapun, kenyataan Anwar itu dilihat mendapat reaksi 'kurang selesa' Pas Selangor apabila Setiausahanya, Mohd. Khairuddin Othman dalam satu laporan sebuah portal berita, mstar.com.my hari ini mengingatkan PKR supaya menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada Mac depan.
Menurut Khairuddin, pihaknya menyifatkan PRK DUN Kajang dan jawatan Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kaitan langsung selain meminta PKR tidak membangkitkan perkara itu di saat Pas telah menggerakkan jentera membantu PKR di DUN berkenaan.
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan