Ahad, Februari 23, 2014

Kaji selidik yang merobek-robek wibawa MB dan Pas?


Ada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) barangkali sudah meniupkan trumpet berikutan hasil kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang yang menyebelahi parti itu, yang meramalkan kemenangan kepada calon mereka, Anwar Ibrahim.

Hasil dapatan kaji selidik memberi pengabsahan bahawa apa yang dilakukan oleh PKR mengosongkan kerusi N25 untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim bertanding dan kemudian melantiknya sebagai Menteri Besar Selangor adalah tepat.

Kaji selidik itu mendapati 59 peratus daripada 576 responden menjawab "ya" apabila ditanya soalan 'adakah munasabah Pilihan Raya Kecil Kajang diadakan untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor'.

Apakah maksudnya? Kaji selidik ini hanya memberi persepsi baik kepada Anwar selaku calon. Kaji selidik ini menjelaskan dengan terang-benderang hajat sebenar Langkah Kajang atau yang disebut Manipulasi Kajang walaupun cuba disembunyikan oleh strategis PKR dan Anwar.

Pengundi Kajang, yang sejak ADUN Lim Chin Cheh diumumkan meletakkan jawatan telah dibebani dengan kempen politik PKR siang dan malam, digambarkan begitu sayangkan PKR dan Anwar yang bukan sekadar sebagai penyelamat Kerajaan Negeri Selangor bahkan negara.

Hal ini kerana mengikut kaji selidik tersebut, kebanyakan yang ditinjau menyatakan pilihan raya kecil yang dicipta PKR itu adalah munasabah (56 peratus), tidak membazirkan wang (53 peratus) dan perlu diadakan untuk menyelesaikan isu-isu dalaman PKR Selangor (42 peratus).

Lihatlah bagaimana kini Anwar begitu diagung-agungkan. Tidakkah kita belajar bagaimana dulu mereka berdegar-degar akan menggegar Dewan Rakyat dengan kehadiran ramai wakil rakyat ‘cerdik’ pakatan pembangkang? Sehingga kini kita masih menanti-nanti 'keluarbiasaan' pemimpin ini.


Kaji selidik Umcedel itu dari sisi lain sebaliknya telah merobek-robek wibawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang digambarkan sebagai dungu, hanya menjadi pak pacak di kerusi Menteri Besar. Bagi pengundi Kajang mengikut kaji selidik itu, Abdul Khalid tidak layak menjadi Menteri Besar. Beliau perlu segera ditukarkan termasuk untuk menyelesaikan kemelut dalaman PKR.

Yang layak menerajui Selangor hanya seorang iaitu yang sekarang menjadi calon PKR DUN Kajang itu.

Kemudian, di luar kaji selidik yang selalu menyebelahi pakatan pembangkang itu, semacam ada gerakan terancang untuk menampilkan semula bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kini ahli Pas untuk membantu Anwar nanti.

Secara tersirat, Abdul Khalid pula terus diserang dengan bermacam konspirasi daripada isu PKNS sehingga hal berkaitan hutang beliau dengan bank. Beliau pun tidak semena-mena dikaitkan dengan orang UMNO.

Kasihanlah Abdul Khalid yang digambarkan ‘super’ hebat sebelum ini sehingga dipilih semula untuk menjadi Menteri Besar buat penggal kedua, dihina sebegitu sekali. Tetapi hal ini bukan baharu dalam permainan politik Anwar.

Entah berapa banyak sahabat baik dan orang kanan Anwar dihina sebegitu rupa, lantas secara terhormat memilih meninggalkan beliau walaupun sedang memegang jawatan dan kekuasaan.

Daripada rakan seperjuangan politik, agamawan, cendekiawan, sahabat sepermainan hingga staf sendiri, jumlahnya sudah tak terhitung. Pernahkah kita melihat pemimpin lain yang ditinggalkan sebegitu banyak rakan baiknya?

Yang sepatutnya paling terasa getah kaji selidik ini ialah Pas. Kaji selidik ini memburaikan keputusan Pas bahawa 'isu kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor adalah tidak berbangkit' dalam pilihan raya kecil ini.

Ketegasan Pas yang dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat lujnah politik dan pilihan raya pada 3 Februari lalu hanya sia-sia belaka.


Itulah gambaran permainannya, PRK DUN Kajang ini untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. Pengundi Kajang percaya itu yang akan berlaku. Naifnya Pas yang boleh tertipu di siang hari.

Kebimbangan pemimpin akar umbi Pas terutamanya golongan agamawan menjadi nyata dalam kaji selidik ini. Barangkali atas sebab itu, ada strategis Pas awal-awal meletakkan syarat akan mencalonkan nama daripada parti itu jika Abdul Khalid disingkirkan.

Tetapi Pas yang sedang dihina ini mempunyai rekod mudah terbuai dengan kegilaan Anwar. Walaupun Pas mengancam akan menamakan calon lain, sejarah menunjukkan mereka akhirnya akan termakan dengan perangkap permainan Anwar.

Anwar dan jenteranya tidak pun peduli dengan pengorbanan Pas yang akhirnya memutuskan untuk menyertai jentera pakatan pembangkang dalam pilihan raya kecil ini. Mereka ambil mudah kesukaran Pas yang terpaksa mengetepikan suara ahli-ahlinya sendiri.

Demokrasi kita nampaknya sudah bersimpang siur. Demokrasi yang sepatutnya melahirkan pemimpin bercirikan negarawan sebaliknya hanya melahirkan pemimpin rakus dan pentingkan diri sendiri.

Hasrat untuk melihat wakil rakyat daripada kalangan mereka yang terbaik kian jauh panggang dari api. Dewan yang mulia di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang sepatutnya menempatkan orang-orang terhormat untuk mengabdi kepada rakyat justeru diisi oleh mereka yang belum selesai dengan dirinya sendiri.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: