Rabu, Februari 19, 2014

Benarkah Dr M 'takut' Anwar jadi MB?


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor kerana perjuangan Anwar hanyalah untuk menjadi perdana menteri, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya fikir dia (Anwar) tak layak (jadi Menteri Besar), dia tubuh satu parti semata-mata untuk nak tentukan dia jadi perdana menteri, bukan nak berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air.

"Di mana-mana dia berjuang pun cuma untuk jadi perdana menteri, masuk dalam Umno (dulu) pun pasal nak jadi perdana menteri, bukan nak berjuang untuk Umno," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kursi Keamanan Global Tun Mahathir Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dr Mahathir, yang juga Presiden PGPF, berkata beliau juga 'takut' rakyat Selangor tidak akan selamat jika Anwar menjadi Menteri Besar negeri itu.

"Sudah tentulah saya berasa takut sebab rakyat tidak akan selamat, kakitangan tidak akan selamat dengan kehadirannya, anda lihat apa yang berlaku kepada kakitangannya? Dia akan lebih dipengaruhi kebebasan untuk berbuat apa yang disukainya.

"Dia fikir sebagai perdana menteri, mungkin dia tidak dapat disentuh undang-undang, anda bukan tidak dapat disentuh undang-undang, jika anda melakukan perbuatan yang salah, (atau jika) anda tidak bermoral, kerajaan akan mengambil tindakan ke atas anda," katanya.

Anwar yang mengumumkan bertanding pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini - dikatakan akan mengambil alih jawatan menteri besar Selangor jika memenangi PRK itu.

Sementara itu, Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau bersifat anti-hadis hanya kerana beliau merasmikan sebuah seminar berkaitan karyawan dan bekas aktivis politik, Kassim Ahmad, yang sering dilabel sebagai orang yang tidak percaya kepada hadis.

"Saya pun dilabel sebagai anti-Cina, rasis dan macam-macam walaupun saya berkata perkara yang benar. Jadi inilah apa yang dialami Kassim, apa saja dia perjelas pun (dianggap) anti-hadis.

"Saya tak fikir Kassim anti-hadis, dia macam orang Islam lain," katanya.

Ditanya tentang permintaan kerajaan negeri Johor supaya kerajaan Pusat membincangkan tentang harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura dalam mesyuarat bersama kedua-dua negara pada masa depan, Dr Mahathir berkata harga air mentah itu patut dinaikkan.

"Jika mereka tidak menaikkan harga air, maka mereka sudah tentu begitu rugi sekali, sebab mereka tidak memperoleh apa-apa pun," katanya.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1961 dan 1962, Public Utilities Board (PUB) Singapura membeli air mentah daripada Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Singapura sebaliknya menjual air terawat kepada Johor pada kadar harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Terdahulu, Rais yang melancarkan Kursi Keamanan Global Tun Mahathir, berkata Kursi itu akan menyediakan wadah untuk memperluaskan pengetahuan, pengalaman amali dan kecekapan bagi cendekiawan serta pengamal, yang terlibat dalam pembinaan keamanan dan bantuan kemanusiaan.

"Kursi itu akan turut memberi tumpuan kepada penyelidikan khusus ke atas keamanan global merangkumi aspek dasar dan perundangan, selain isu berkaitan jenayah perang," katanya.

Profesor Johan Galtung, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai 'bapa Kajian Keamanan' diumumkan sebagai penyandang pertama Kursi itu pada majlis berkenaan. - Bernama

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Mat Sabu The Best berkata...

Dah lah Madey dah jadi PM untk 22 tahun, ingat orang lain tak boleh jadi PM. Madey pakai duit rakyat mewahkan sepulan2 tertentu dengan memiskinkan sebilangan lagi, itulah yang dinamakan Haramjadah Laknatullah.Hancurlah Malaysia kalau ada orang cam Madey.