Khamis, November 25, 2010

Kontroversi Yayasan Selangor: SPRM ambil kenyataan MB!

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kos tidak munasabah majlis makan tengah hari sempena sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor yang mencecah RM300,000.

Beliau yang merupakan Pengerusi Yayasan Selangor memberikan kenyataan itu kepada pegawai SPRM yang menunggu di pejabatnya di tingkat 21, bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Exco.

Beliau memberi kenyataan tersebut kira-kira 30 minit bermula pukul 5.30 petang.

"Saya sedang beri kerjasama kepada SPRM," kata Abdul Khalid mengesahkan perkara itu dalam laman sosial Twitter, di sini petang ini.

Kontroversi kos tidak munasabah majlis makan itu mula dicetuskan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini. Isu tersebut turut menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan membatalkan keberangkatan baginda ke majlis itu.

Suruhanjaya itu yang memulakan siasatan berhubung isu tersebut selepas mengesyaki berlaku unsur rasuah dalam urusan perbelanjaan majlis itu telah menahan seorang pegawai kanan Yayasan Selangor kelmarin.

Pegawai kanan itu yang sebelum ini diarahkan cuti bergaji selama sebulan telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan SPRM.

Sementara itu semalam : Pegawai kanan Yayasan Selangor direman

Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kos tidak munasabah majlis jamuan makan tengah hari sempena sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu baru- baru ini yang didakwa mencecah RM300,000.

Perintah tahanan reman selama seminggu yang bermula hari ini sehingga 29 November ini dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Khairul Nizam Abu Bakar kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Terdahulu, lelaki itu yang diarahkan bercuti selama sebulan oleh kerajaan negeri berikutan kontroversi perbelanjaan tidak munasabah untuk majlis makan tengah hari itu dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 11.45 pagi.

Semalam, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1.35 petang oleh sekumpulan pegawai SPRM di kediamannya sebelum dibawa ke pejabatnya di tingkat 16, Pejabat Yayasan Selangor di Petaling Jaya dekat sini untuk mengambil beberapa dokumen.

Lelaki itu dikatakan ditahan berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola majlis makan tengah hari itu dan selepas pihak SPRM mempercayai terdapat unsur rasuah dalam urusan perbelanjaan majlis tersebut. Lelaki itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 14 November lalu, kerajaan negeri mengumumkan telah mengarahkan lelaki itu cuti bergaji selama sebulan kerana siasatan awal menunjukkan terdapat pembabitan pejabat beliau dalam urusan mengeluarkan kos tidak munasabah itu.

Tindakan tersebut diambil selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan isu kos tidak munasabah itu dan membatalkan keberangkatan baginda ke majlis makan tengah hari berkenaan.

Isu itu terlebih dahulu dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Datuk Amiruddin Setro semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru- baru ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar pula mendakwa yayasan tersebut membelanjakan lebih daripada RM800,000 untuk keseluruhan majlis sambutan ulang tahunnya yang ke-40.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

YANG GAMBI berkata...

Salam bro, SPRM kena jaga-jaga juga, manalah tahu kot-kot si Khalid ni terjun bagunan pulak....

Aku Peduli Apa @ APA berkata...

Salam sdra.

Blog sdra sentiasa dlm bloglist saya sblm blog saya kena hijack minggu lepas.

Mohon link ke blog sdra.

Terima kasih