Jumaat, November 05, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!



















Tiada kuota dalam Perlembagaan

Akhbar China Press terbitan 29 Oktober lalu menyiarkan sebuah artikel yang menyentuh mengenai kuota bumiputera.

Artikel berjudul ‘Sistem kuota tidak ada kaitan dengan Perlembagaan’ itu ditulis oleh Loh Hon Chew. Menurut penulis itu, UMNO sepanjang Perhimpunan Agung yang baru selesai beberapa minggu lalu membuat pendirian jelas bahawa tidak akan berganjak langsung mengenai isu 30 peratus kuota saham kepada bumiputera.

Perkara ini sudah menjadi isu besar kerana orang bukan Melayu tidak percaya sehingga ke hari ini, orang-orang Melayu masih gagal memenuhi kuota 30 peratus itu. Lebih membuatkan orang-orang bukan Melayu tidak percaya ialah penguasaan ekonomi orang Melayu hanya 19 peratus. Orang-orang Melayu sudah dibelai selama 40 tahun.

Mereka diberi keutamaan dan ditatang tetapi mendakwa hanya menguasai tidak lebih 20 peratus sahaja kekayaan ekonomi.

Dalam mempercayai hakikat ini, kita mengambil apa yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, disebabkan orang-orang Melayu mahu cepat kaya, mereka menjual saham yang ada di tangan. Sebab itu mereka gagal menguasai saham sebanyak 30 peratus. Inilah yang menyebabkan ramai yang khuatir.

Jika dilihat dari sudut lain, orang-orang Melayu yang mendapat saham segera terlalu banyak dan seolah-olah tidak muat untuk diisi lagi.

Apabila mereka sudah menikmati rezeki yang melimpah-limpah, walaupun kuota saham mereka tidak sampai 30 peratus, tetapi kekayaan mereka sudah melebihi 30 peratus. Perkara ini langsung tidak disentuh dan cuba dielakkan semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

Selain itu tulis Hon Chew, kuota 30 peratus juga bukan sahaja dilaksanakan pada permukaan seperti kuota saham. Ia juga melibatkan projek-projek kerajaan, pembekalan barangan, sektor perkhidmatan yang semuanya dikuasai oleh orang Melayu.

Sebenarnya semua keputusan dalam kerajaan dikuasai oleh birokrasi. Walaupun kuota 30 peratus dapat dihapuskan melalui undang-undang yang jelas, bidang-bidang yang dikuasai oleh orang-orang Melayu langsung tidak terjejas. Ia pasti melebihi kuota 30 peratus. ‘‘Sistem kuota tidak ada kena mengena dengan Perlembagaan.

Dalam Perlembagaan langsung tidak ada perkataan ‘kuota’. Sistem ini hanya dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dalam perancangan pembangunan ekonomi mereka.

Sebab itu, isu-isu mengenai kuota boleh dibincangkan di khalayak umum. Sama ada sistem kuota mahu dihapuskan atau tidak, kuasa itu semuanya ada di tangan kerajaan. Lebih tepat boleh disebut bahawa kuasa itu terletak di tangan UMNO,” tulis Hon Chew.














Perkauman warnai PRK Galas dan Batu Sapi

Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini iaitu di Batu Sapi, Sabah dan Galas, Kelantan menarik perhatian Tan Zhao Lun yang menulis mengenainya seperti yang disiarkan oleh akhbar Nanyang Siangpao terbitan 31 Oktober lalu.

Menurut Zhao Lun menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Permusuhan politik’, pilihan raya kecil itu akan tetap mengulangi taktik yang sama.

Baik Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, kedua-duanya tidak akan terkeluar daripada kotak isu perkauman. Sebelum musim berkempen dimulakan, parti-parti ini sudah melaungkan isu perkauman untuk memancing undi.

Jika kawasan itu mempunyai ramai pengundi Melayu, warna kulit calon perlu diperdebatkan terlebih dahulu.

Selepas itu, latar belakang kaum akan digunakan. Parti-parti ini akan mengatakan bahawa warna kulit bangsa itu tidak penting. Yang penting kualiti calon.

Mereka menggunakan pelbagai kitab yang termaktub dalam Perlembagaan untuk membuktikan calon-calon mereka bukan berfikiran perkauman dan mampu mempertahankan hak orang-orang Cina.

Pada dasarnya setiap kali pilihan raya umum atau kecil, yang amat menonjol ialah konsep dan semangat 1Malaysia. Ini kerana calon-calon dari kerajaan mahu pun pembangkang amat prihatin dengan perkembangan semua kaum.

Dalam akhbar Cina, jarang sekali terpapar gambar pemimpin Melayu yang berkunjung ke kuil-kuil Cina. Jika difikirkan, ini adalah satu lagi pakej kepada permainan ‘permusuhan politik’.

Melalui jurang perbezaan warna kulit dan agama yang berbeza serta layanan yang tidak adil, ia secara tidak langsung menimbulkan rasa tidak puas hati kaum lain.

Ini kerana mereka mengambil kesempatan itu untuk menyerang kaum lain supaya mendapat habuan bagi kepentingan politik mereka. Inilah yang dinamakan permainan politik perkauman.

Semua pihak memainkan peranan yang sama dan terjerumus ke lembah yang sama. Jika mahu mendapatkan layanan yang adil, jangan membenci kaum lain.

Kita perlu benar-benar menjadi orang Malaysia, bukan untuk dipergunakan sebagai alat dengan kepentingan tertentu. Kita kena berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah serta sama-sama bersaing. Tidak hanya mahu merampas hak dan kepentingan orang lain.

‘‘Jika anda menganggap kami satu keluarga, sudah tentu kami juga akan menganggap anda sebahagian daripada keluarga kami. Tidakkah itu fakta yang paling mudah difahami?,” tulis Zhao Lun.

‘Penyakit’ kakitangan awam

LAPORAN Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini dikaitkan dengan sikap kakitangan awam seperti yang ditulis oleh Timbalan Editor Sinchew Daily, Lim Sue Guan. Artikel yang bertajuk ‘Penyakit yang lazim berlaku’ itu tersiar di ruangan pendapat akhbar berkenaan siaran 29 Oktober lalu.

Menurut Sue Guan, laporan audit baru-baru ini membongkar pembayaran berlebihan secara berleluasa termasuk kesalahan pegawai-pegawai kerajaan di sempadan. Pihak kerajaan dengan pantas memberi jawapan dan mengehadkan kakitangan kerajaan supaya tidak terlebih dalam membuat pembayaran.

Kerajaan juga memasukkan rasuah dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI). Ini menunjukkan kerajaan mengambil berat untuk membetulkan kesilapan. Tetapi dalam prosedur pentadbiran, jika tidak dilakukan dengan 100 peratus, ia tidak boleh menjamin kesalahan itu tidak berulang lagi.

Walaupun kerajaan menggunakan kaedah ISO, ia hanya akan menambahkan lagi tugas untuk menyiapkan kertas kerja. Ini mungkin akan menambahkan lagi birokrasi kerajaan.

‘‘Hari ini kakitangan awam berjumlah 1.29 juta orang. Cara mereka bekerja mengikut nafsu dan perasaan. Bukan mengikut cara peraturan yang ada.

Kaedah mereka meluluskan pun tidak jelas. Apabila disoal siasat, mereka dengan mudah menolak semua tanggungjawab itu. Sebab itu banyak perkara yang menyalahi undang-undang,” tulis Sue Gan.

Tulisnya lagi, jika perubahan ekonomi mahu dijayakan, kerajaan sepatutnya berpandukan kepada disiplin kakitangan yang kuat. Tidak ada cara lain lagi melainkan meningkatkan kualiti pengurusan.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: