Rabu, November 10, 2010

Bekalan air bersih Selangor dipolitikkan!

"AIR nadi kehidupan, hargailah air untuk generasi masa hadapan." Demikian mesej yang tercatat dalam bil air yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) pada September lalu. Tidak ramai orang yang mempedulikan mesej ini.

Bagi kebanyakan penduduk Selangor, bil air Syabas sudah lama tidak diendahkan sejak Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan skim bekalan air percuma 20 meter padu bernilai RM11.40 pada 1 Jun 2008.

"Menjadi hak rakyat Selangor untuk menikmati skim yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan penuh bangga ketika ditemu ramah oleh media pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri, di Jeram, Kuala Selangor pada September lalu.

Kata-kata Khalid itu jelas berbaur politik. Skim ini dijadikan strategi politik untuk memancing hati penduduk Selangor. Siapa yang tidak mahu air percuma. Pastinya banyak penduduk Selangor yang tersenyum selepas skim ini dilaksanakan.

Namun, mutakhir ini strategi politik Khalid ini memakan tuan. Kajian Sumber Air Negara (National Water Resources Study) baru-baru ini mendedahkan bahawa permintaan air bersih per kapita di Selangor dijangka lebih tinggi berbanding dengan Singapura mahupun Sydney.

Masakan tidak, ekoran skim bekalan air percuma, banyak orang yang tidak lagi menghargai air. Menyiram pokok bunga, mencuci lantai dan longkang rumah pun mereka menggunakan air yang dirawat. Maklumlah, 20 meter padu (bersamaan 20,000 liter) air bersih diberikan percuma.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Lee Miang Koi melalui kenyataan medianya dalam laman web rasmi Syabas bertarikh 22 Julai 2010, catatan penggunaan meter air domestik di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Putrajaya bagi tempoh Januari 2009 hingga Ogos 2009 ialah sebanyak 216 liter per kapita sehari.

Sebagai perbandingan, secara idealnya di Asia Tenggara penduduknya menggunakan 80 liter air termasuk tiga liter untuk diminum setiap hari. Misalnya, rakyat Singapura yang sangat sensitif dengan penggunaan air menggunakan 155 liter, manakala Thailand 90 liter sehari.

Mengapakah rakyat kedua-dua buah negara ini menggunakan air yang jauh kurangnya daripada rakyat Malaysia? Mengapakah mereka boleh berjimat ketika menggunakan air? Jawapannya mudah, tarif air yang perlu dibayar oleh penduduk kedua-dua buah negara itu relatifnya jauh lebih mahal daripada rakyat Malaysia.

Di Selangor misalnya, pengguna hanya membayar RM0.57 sen per meter padu (1,000 liter) air bersih yang mereka gunakan, berbanding dengan Singapura (RM1.71 per meter padu) dan Thailand (RM1.09 per meter padu). Bahkan di Jakarta, tarif airnya ditetapkan pada harga RM2.17 per meter padu.

Sebaliknya, dalam krisis pembaziran air ini, kerajaan negeri Selangor melancarkan pula skim bekalan air percuma kepada penduduk negeri itu. Mereka rela membelanjakan RM234,119,559 sejak Jun 2008 hingga Jun 2010 untuk menyediakan skim bekalan air percuma bagi 20 meter padu kepada 3,436,702 orang penduduk Selangor. Adakah ini strategi bijak untuk mendidik rakyat supaya menghargai dan berjimat cermat menggunakan air bersih yang disalurkan ke rumah mereka? Sebenarnya tidak ada yang percuma dalam skim ini.

Ratusan juta ringgit yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk skim itu merupakan duit rakyat yang diperoleh daripada kutipan cukai dan hasil kerajaan negeri yang lain. Bayangkan, betapa besar manfaatnya jika duit ratusan juta itu dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan rakyat di Selangor.

Khalid dengan lantang mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan parti-parti pembangkang akan menjamin bahawa hak rakyat untuk terus menikmati tarif air yang rendah. Khalid tidak mempedulikan fakta yang membuktikan bahawa kenaikan kadar tarif air ini perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi dan kos penggantian aset untuk menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor.

Dalam akhbar Selangor Kini edisi kedua, September 2010, Syabas dituduh dan diasak dari pelbagai sudut ekoran pengumuman cadangan kenaikan tarif air. Syarikat itu digambarkan tidak ubah sebagai sebuah syarikat kapitalis yang hanya tahu mengaut keuntungan, gagal memberikan perkhidmatan terbaik dan merampas hak rakyat.

Bahkan, akhbar rasmi kerajaan negeri tersebut juga mendedahkan 'selera besar' Khalid untuk mengambil alih konsesi air daripada Syabas. Ironinya, Kedah dan Pulau Pinang yang juga di bawah pimpinan pakatan pembangkang baru-baru ini mengumumkan pula kenaikan tarif air.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), mulai 1 November lalu mengenakan 24 sen meter padu bagi air yang digunakan melebihi daripada peruntukan 35 meter padu pada setiap bulan. Alasan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan tarif air ini adalah untuk menggalakkan penggunaan sumber air secara bijak supaya tidak berlaku pembaziran kerana hanya pengguna yang menggunakan air berlebihan sahaja terlibat.

Di Kedah, Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengumumkan kenaikan tarif air sebanyak 27 peratus. Alasan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas itu adalah untuk membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.7 bilion. Selain itu, seperti juga Syabas, SADA mengakui bahawa kos merawat air semakin meningkat sehingga mereka bakal menanggung kerugian jika mengikut kadar tarif yang lama.

Situasi yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah ini cukup menunjukkan bahawa isu air di Selangor sebenarnya hanya dijadikan permainan politik. Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menaikkan tarif air kerana tindakan tersebut sangat bertentangan dengan strategi politik mereka memberikan air percuma demi memenangi hati rakyat.

Mereka tidak mempedulikan pembaziran air berlaku dalam kalangan pengguna air di Selangor kerana perkara yang lebih penting mereka perlu kelihatan seperti 'jaguh' dalam membela nasib rakyat. Bahkan, Syabas yang menerima pujian daripada banyak pihak kerana keupayaan dan kecekapannya menguruskan pembekalan air di Selangor, dituduh pula gagal melaksanakan tugas.

Lebih parah, Kerajaan Negeri Selangor sanggup memandang enteng amaran Kajian Sumber Air Negara mahupun kajian Syabas yang menunjukkan bahawa krisis air yang sangat meruncing akan berlaku di Selangor pada 2013. Mereka mendakwa amaran ini hanya propaganda Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, Kerajaan Negeri Selangor dengan egonya, membuat kajian mereka sendiri dan mendakwa bekalan air di Selangor mencukupi sehingga 2019 dengan mengambil kira sumber air yang luar biasa iaitu air bawah tanah dan air hujan!

Berdasarkan hujah dangkal ini, Kerajaan Negeri Selangor melengahkan penyelesaian rundingan penstrukturan semula industri air Selangor berhubung dengan pelaksanaan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang antara lain merupakan persiapan menghadapi krisis air di Selangor kurang tiga tahun lagi.

Kerajaan negeri dalam satu kenyataan media pada 1 September lalu, bertegas agar pelaksanaan Projek Langat 2 dilaksanakan pada 2019 dan menyarankan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah tertentu seperti mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) dan pelaksanaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH). Ironinya, dalam isu NRW, Syabas telah berjaya menurunkan kadar NRW daripada 42.78 peratus (semasa pengurusan air Selangor diselenggarakan oleh PUAS sehingga 1 Januari 2005) kepada 33.9 peratus pada Disember 2007.

Tahap ini masih dapat dipertahankan oleh Syabas sehingga 32.36 peratus pada Disember 2009, walaupun ketika itu program kerja Syabas untuk tempoh tiga tahun (dari 2008 sehingga 2010) tidak dapat dilaksanakan kerana arahan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang membekukan perbelanjaan modal.

Pembekuan ini akan ditarik balik selepas penstrukturan semula sektor air di Selangor selesai dilaksanakan. Isu pembekalan air bersih ini bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan sesuka hati oleh sesiapa pun, tidak kira pakatan pembangkang mahupun Barisan Nasional.

Jangan sampai dek kerana terpedaya dengan pemberian air percuma mahupun dolak-dalik politik dangkal untuk meraih populariti, akhirnya penduduk Selangor terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkan bekalan air.-UM

Suara Politik
Taminsari..

4 ulasan:

hanizam berkata...

kat rumah kos rendah yang masih diuruskan oleh JMB tak dapat gak nikmat air percuma...contoh terdekat, kat Damansara Perdana, ala...kawasan Ellie BOGEL...

kalau nak bagi, buatlah secara menyeluruh...kat rumah area san, maner pakai banyak sangat air...tapi tarifnya fuhhhh...

kesian aku tengok penyewa rumah aku tu...

Unknown berkata...

salam, retorik je, setakat mana boleh bertahan, rakyat - rakyat juga, tapi pemerintah berperanan juga untuk mendidik rakyat agar lebih berdisiplin dalam menjalani kehidupan, bukan dengan merasuah rakyat agar rakyat mengundi kita, sedangkan rakyat lansung tak berdisiplin dalam isu pengunaan air. disini pemerintah dilihat gagal untuk memimpin rakyat menjadi rakyat yang bertanggungjawab.

Nani Man UTD berkata...

Saya setuju dengan pandangan saudara. Saya terbaca isu Tabung Budi yang dibuat oleh warga SYABAS bagi membantu orang-orang yang tidak dapat menikmati air percuma dan tidak mampu membayar duit bil air.

Tapi, saya rimas apabila Khalid dan Faekah terlalu berpolitik sehingga menghentam membabi buta penubuhan Tabung Budi ini.


Sehinggakan mereka mendakwa SYABAS telah rakus mengambil duit rakyat walaupun Kerajaan Negeri Selangor tetap membayar SYABAS setiap bulan.

Ini yang memualkan saya apabila setiap tindakan baik yang dibuat oleh seteru politik tetap dianggap negatif. Saya khuatir bagaimana jika mereka memerintah kerajaan pusat, adakah mereka akan bersikap kuku besi dan menekan rakyat?

Unknown berkata...

Tindakan Selangor melewat-lewatkan pembinaan Projek Langat2 dan menaikkan tarif air akhirnya menjerat diri.

Mereka hanya membeli masa dan mencari masa yang sesuai untuk memanipulasi isu termasuk menutup kelemahan mereka antaranya mengenai isu penyelewengan kuasa di Klang dan terbaru dalam PKNS.

Walaupun mereka tahu bahawa Selangor, Putrajaya dan KL bakal menghadapi krisis air seawal tahun 2012, namun kedegilan mereka telah meletakkan beratus ribu rakyat dalam keadaan bahaya.

Ini tindakan tidak matang. Isu kenaikan tarif air, penstrukturan air Selangor dan pembinaan projek Langat2 adalah isu yang berasingan.

Pemerintah jangan ikut perkiraan politik parti semata-mata sebaliknya mengambil kira nasib rakyat.