Sabtu, November 20, 2010

Skandal Selangor : MB tahu belanja sebenar - Noh!

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Noh Omar mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetahui perbelanjaan sebenar penganjuran majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor yang dikatakan mencecah RM800,000.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Khalid yang mengatakan beliau tidak mengetahui perbelanjaan sambutan tersebut sebenarnya menimbulkan keraguan banyak pihak.

Katanya, Abdul Khalid merupakan Pengerusi Yayasan Selangor dan sudah tentu Menteri Besar itu sedia maklum tentang perancangan yang dibuat oleh yayasan berkenaan termasuk perbelanjaan sebenar menerusi mesyuarat lembaga pengarahnya.

"Sebagai Pengerusi yayasan itu beliau mesti tahu berapa banyak yang dibelanjakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Galeri Inovasi dan Teknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Stesen Tanjong Karang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Khalid yang memintanya menyerahkan bukti mengenai perbelanjaan Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 13 November lalu, Noh dalam satu sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor mendedahkan perbelanjaan sebenar Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor yang sepatutnya diadakan di Asrama Tun Dr. Ismail, Kampung Pandan, Kuala Lumpur 15 November lalu melibatkan kos perbelanjaan RM800,000 dan bukannya RM300,000 yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

Menurut Noh, jumlah RM300,000 itu hanyalah sebahagian daripada perbelanjaan yang dibuat oleh Yayasan Selangor sebagai bayaran pendahuluan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam penganjuran majlis sambutan tersebut. Katanya, jumlah itu tidak termasuk peruntukan yang dianggarkan RM500,000 lagi untuk sambutan berkenaan yang dikatakan telah diluluskan sebagai peruntukan tambahan.

Dalam pada itu, Noh turut menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Selangor telah membuat laporan kepada SPRM mengenai perbelanjaan tersebut di Putrajaya hari ini.

"Jadi kita serahkan kepada SPRM untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku penyelewengan atau sebagainya yang melibatkan Yayasan Selangor," ujarnya.

Sementara itu : Khalid enggan ulas syarat Noh

Menteri Besar serba tak tahu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan memberi reaksi terhadap syarat yang dikenakan Datuk Seri Noh Omar jika mahu perbelanjaan sebenar majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Yayasan Selangor didedahkan.

Beliau sebaliknya memberi alasan tidak mahu mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Yayasan Selangor. Malah Abdul Khalid menyarankan Noh agar menyerahkan semua bukti berhubung perbelanjaan sambutan itu kepada SPRM.

"Saya tidak mahu komen mengenainya kerana siasatan sedang dijalankan SPRM dan saya tidak akan campur kerana ia melibatkan SPRM."

"Bukan sahaja Noh tetapi sesiapa yang ada maklumat mengenainya boleh salurkan kepada SPRM," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong dan doa selamat sempena pembinaan Masjid Baru Pekan Jeram di sini semalam.

Sebelum ini Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memberitahu, beliau masih menunggu jawapan Abdul Khalid berhubung syarat yang dikenakan itu jika mahu kos lebih RM800,000 yang didakwanya merupakan perbelanjaan sebenar majlis sambutan ulang tahun itu didedahkan.

Syarat yang dikenakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Karang tersebut adalah Abdul Khalid perlu meminta maaf secara terbuka sekiranya dakwaan yang dibuatnya itu benar. Syarat itu dikenakan Noh berikutan dicabar Abdul Khalid agar mendedahkan secara terperinci mengenai kos sebenar majlis sambutan ulang tahun tersebut.

Mengenai siasatan SPRM berhubung isu perbelanjaan Yayasan Selangor itu, Abdul Khalid yang juga pengerusi yayasan tersebut berkata, beliau sedia memberikan kerjasama kepada suruhanjaya itu termasuk membekalkan segala dokumen yang dirasakan perlu.

SELCAT apa cerita MB Khalid! Sudah tidak berfungsi ke atau sudah tutup kedai? Dulu kes pasir sibuk guna SELCAT, tetapi untuk kes ini kenapa DIAM! Takut dengan bayang-bayang sendiri ke!!!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: