Jumaat, November 26, 2010

MB Khalid tahu ke KDEB didakwa berisiko bankrap 2011!



















UMNO Selangor mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan prestasi kewangan termasuk beban hutang yang ditanggung Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang didakwa berdepan dengan risiko bankrap menjelang tahun depan.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau difahamkan kedudukan kewangan anak syarikat kerajaan negeri itu kini bermasalah ekoran KDEB diarah menanggung bayaran pemberian air percuma yang merupakan antara janji politik pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Difahamkan, katanya, KDEB terpaksa menanggung kira-kira RM114 juta setahun sebagai bayaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membiayai pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri ini.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, KDEB dianggarkan telah membayar RM342 juta kepada Syabas sejak 2008 hingga 2010 bagi membolehkan manifesto pakatan pembangkang itu dapat dilaksanakan.

“Jumlah tersebut tidak lagi termasuk dakwaan anak syarikat itu turut menanggung beban hutang yang tinggi kepada Syabas.

“Kita minta agar Menteri Besar mendedahkan pendapatan, perbelanjaan serta tanggungan hutang sebenar KDEB setakat ini kepada rakyat.

“Jika benar KDEB ketika ini menghadapi masalah kewangan dan kemungkinan bankrap, ia merupakan satu keadaan memalukan bagi Abdul Khalid yang selama ini dianggap sebagai seorang tokoh korporat yang ‘bijaksana’ dalam bidang itu,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata, tidak salah membuat keputusan untuk menjaga kebajikan rakyat kerana ia sememangnya merupakan tanggungjawab kerajaan negeri.

Namun, kata beliau, sekiranya keputusan itu memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri apatah lagi menyebabkan kerosakan kepada anak-anak syarikat yang ditubuhkan untuk memastikan pembangunan rakyat negeri itu, ia pastinya tidak bermakna apa-apa.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut mempersoalkan peranan sebenar Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengembangkan ekonomi di negeri itu termasuk kemajuan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri.

Katanya, sehingga kini tidak ada satu pun perubahan atau sumbangan ekonomi negeri ini dilihat dilakukan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada kemajuan negeri ini.

Sebaliknya, jelas beliau, hanya pembaziran dilakukan oleh anak-anak syarikat negeri itu untuk perkara tidak berfaedah dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat seperti dilaporkan berlaku kepada Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi media sebelum ini.

Malah, katanya, pengumuman Abdul Khalid semalam bahawa kerajaan negeri mencapai pelaburan RM5.6 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini merupakan hasil dasar pentadbiran Kerajaan Pusat yang berjaya memulihkan keyakinan pelabur selain bantuan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia.

Yang menariknya kenapa Teresa Kok tidak tahu statistik sebenar mengenai jumlah pelaburan dan juga keadaan industri dalam negeri Selangor bila ditanya di dalam sidang DUN baru-baru ini ! Exco ni buat kerja ke atau makan gaji buta! Pergi keluar negara cari pelaburan atau makan angin!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: