Jumaat, November 19, 2010

Skandal Selangor : Saya masih tunggu jawapan MB - Noh

"Saya masih tunggu jawapan Abdul Khalid (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim)... Setakat ini dia belum jawab...Mungkin esok.

"Kalau dia setuju dengan syarat yang diberikan, baru saya akan dedahkan perincian perbelanjaan RM856,900 itu," kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika ditanya perkembangan isu kos lebih RM800,000 yang didakwanya merupakan perbelanjaan sebenar Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor.

Pada 15 November lalu, Noh dicabar Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor agar mendedahkan secara terperinci kos lebih RM800,000 yang didakwanya merupakan perbelanjaan sebenar majlis tersebut.

Cabaran itu disahut Noh keesokan harinya tetapi beliau menetapkan syarat yang Abdul Khalid perlu meminta maaf secara terbuka sekiranya dakwaan yang dibuatnya itu salah.

Kata Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, beliau berharap agar Abdul Khalid tidak memutarbelitkan fakta kerana kos RM856,900 yang dimaksudkannya ialah kos keseluruhan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor dan bukan hanya untuk acara makan tengah hari yang telah dibatalkan.

Ujar beliau, jumlah RM856,900 itu terlalu besar dan merupakan satu pembaziran memandangkan wang tersebut boleh disalurkan untuk perkara yang lebih bermanfaat.

"Satu lagi yang saya rasa tidak betul ialah mereka membayar deposit yang terlalu besar sebelum majlis berlangsung dan bayaran pula dibuat kepada syarikat yang dilantik," dakwa beliau sambil memberitahu akan menjelaskan lebih terperinci selepas Abdul Khalid bersetuju dengan syaratnya.-UM-

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: