Rabu, September 17, 2014

Nik Aziz dihalang bercakap tentang kemelut Pas?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dihalang oleh petugas parti itu untuk memberi sebarang ulasan mengenai kemelut dalaman yang dikatakan melanda Pas walaupun beliau kelihatan ingin berbuat demikian.

Selepas selesai ber-kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Kampung Surau Lama, dekat sini hari ini, wartawan cuba meminta reaksi beliau mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun, sebelum sempat beliau mengulas, petugas yang juga pengacara majlis itu mencelah meminta wartawan berhenti bertanya dan beredar.

"Cukup, cukup," katanya kepada para petugas media sebelum membisikkan sesuatu kepada Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, Nik Abdul Aziz yang juga bekas Menteri Besar mene-gaskan, Pas tetap menggunakan perkara berkaitan tuntutan royalti petroleum sebagai isu utama dalam siri kempennya sepanjang kempen PRK DUN Pengkalan Kubor.

Beliau mengakui, Kerajaan Persekutuan selama ini telah menyalurkan sejumlah peruntukan yang dipanggil wang ihsan kepada Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan negeri tidak pernah menerima walau satu sen pun kerana wang tersebut disalurkan terus kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

"Terengganu tidak ada JPP, Sarawak tidak ada JPP, kenapa Kelantan mesti ada JPP. Mengarut semua itu, apakah dia tidak percaya kita dan pegawai kerajaan negeri pun masuk universiti juga," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meminta Pas berhenti menfitnah kerajaan berhubung royalti minyak dan mencabar parti itu mengemukakan bukti spesifik terdapat tunggakkan sebanyak RM12 bilion yang belum dibayar kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut menghadiri majlis sama berkata, UMNO dan BN tidak boleh menentukan isu apa yang hendak dibangkitkan Pas ketika berkempen dalam PRK DUN Pengkalan Kubor.

Beliau dikawal ketat pengawal peribadi dan mengelak untuk bertemu wartawan sekadar berkata: "Dia (UMNO) tak boleh paksa kita (bangkitkan isu apa)".

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: