Selasa, September 09, 2014

Nik Aziz kata PKR 'budak manja' ?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh keputusan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan kuasa budi bicara untuk mencadangkan nama calon Menteri Besar Selangor daripada Pas tanpa merujuk kepada jawatankuasa pusat parti.

Dalam masa yang sama, bekas Menteri Besar itu menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) umpama 'budak manja' yang tidak sepatutnya diikuti kehendaknya setiap masa.

Beliau berkata, semua masalah yang disebut oleh Abdul Hadi membabitkan sikap PKR dalam pakatan pembangkang dalam dialog kelmarin telah dibincangkan beberapa kali dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang turut dihadirinya sebelum ini.

"Benda ini yang disebut rahsia dalam surat khabar, ini sebenarnya telah didedah kepada kami dalam mesyuarat-mesyuarat tetapi kami ini jenis pejuang Islam yang tak suka dedah benda begitu kepada orang lain kecuali orang berkenaan.


"Tok Guru Hadi adalah Presiden kami. Kami anggap parti PKR ini macam 'budak manja' yang kadang-kadang kena turut dia tetapi kadang-kadang nak turut 'budak manja' sampai bila tak boleh, akan menjadi masalah.

"Jadi saya berterima kasih syukur kepada Allah, terima kasih kepada presiden sebut benda lagu ini, supaya masyarakat faham PKR ini 'budak manja'," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin dalam sesi dialog dan penjelasan isu terkini di Marang, Abdul Hadi telah meluahkan apa yang tersimpan sejak sekian lama oleh parti itu dalam menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP selepas pilihan raya umum 2008.

Beliau dengan lantang mempersoalkan kepincangan yang berlaku khususnya dalam perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Malah dalam Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Masjid Jamek Tok Jiring di Kompleks Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam, Ahli Parlimen Marang itu sekali lagi mengulangi pendiriannya mempertahankan keputusan Majlis Syura Ulama Pas sambil menyifatkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak layak untuk menggantikan Abdul Khalid.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz turut menyatakan sokongannya kepada Abdul Hadi kerana memberikan penjelasan tersebut dan kenyataan mengenai calon Menteri Besar Selangor.


Tambahnya, kenyataan Abdul Hadi itu bukan rahsia kerana diketahui oleh ahli Majlis Syura Ulama Pas.

"Betul (keputusan Abdul Hadi mendedahkan perkara tersebut), kami dalam Majlis Syura telah lama, telah disebut kepada kami.

"Serah kepada presiden (untuk ulas lanjut), saya tak nak cakap banyak tetapi benda yang dia sebut rahsia itu sebenarnya bukan rahsia, telah pun didedah kepada kami dan dipersetujui Majlis Syura Ulama," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: