Isnin, September 22, 2014

Betoi ka Mat Sabu tiada niat nak jatuhkan Haji Hadi?


Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu hari ini menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tiada niat sama sekali untuk menjatuhkan Presiden Pas itu.

Katanya, semua kenyataan yang dikeluarkan terutamanya dalam isu melibatkan kerusi Menteri Besar Selangor dibuat hasil daripada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan beliau hanya mengetuai sidang akhbar yang diadakan pada 17 Ogos.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, tiada perubahan dilakukan dalam setiap perkataan yang dibacakan dalam sidang akhbar itu yang ditandatangani oleh Abdul Hadi.

"Saya nak sebut sekali lagi, apa yang saya cakap depan wartawan pada 17 Ogos itu adalah hasil mesyuarat. Tuan Guru (Abdul Hadi) mempunyai hal lain ketika itu, lalu saya mengetuainya dan saya baca kesemua yang ditandatangani Presiden tanpa ubah sedikit pun.

"Sama juga dalam sidang akhbar pada 7 September lalu, juga hasil mesyuarat jawatankuasa, saya tidak memandai-mandai," katanya dalam sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-60, di sini hari ini.


Sepanjang muktamar selama tiga hari sejak Khamis lalu, Mohamad menjadi sasaran kecaman perwakilan apabila didakwa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Abdul Hadi dalam isu Menteri Besar Selangor.

Mohamad berkata, biarpun dalam sesetengah perkara beliau boleh menandatangani perkara tertentu ketika ketiadaan Presiden, namun rujukan tetap dilakukan termasuk kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Mustafa Ali.

"Kalau dia kata jangan tandatangan lagi, saya tak lakukannya walaupun masa itu Presiden tiada dan saya yang patut tandatangan, ertinya kami bersama-sama dalam membuat keputusan.

"Tetapi dalam tuduhan-tuduhan dibuat, kita ni orang dan bukannya plastik yang menyebabkan kadang-kadang tu terasa kecil hati juga, balik ke rumah pun termenung," katanya yang menegaskan akan tetap menyokong kepimpinan Abdul Hadi.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: