Ahad, September 07, 2014

Adakah Pasma bakal gugat Pas?


Penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) tidak akan menggugat kredibiliti dan kepercayaan ahli serta rakyat terhadap Pas kerana kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jauh lebih gah dan bermaruah.

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Dr. Ismail Sualman, penubuhan parti baharu itu lebih memperlihatkan sikap terdesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meraih sokongan ahli Pas apabila menyedari parti yang memperjuangkan Islam itu kini secara terang menolak kepimpinannya.

Beliau berkata. penubuhan Pasma juga disifatkan sebagai parti nyamuk yang wujud apabila keadaan terdesak dan hanya akan berfungsi untuk memanipulasi pemikiran ahli Pas supaya tunduk kepada arahan Anwar.


"Pasma dilihat sebagai alternatif kepada Pas kerana Anwar menyedari parti yang diketuai oleh Abdul Hadi akan berpecah meninggalkan dua lagi komponen pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Anwar hanya bergantung harapan kepada parti yang baru ditubuhkan itu agar sanggup berkiblatkan dirinya yang sekali gus memudahkan beliau mengawal gerak-geri ahlinya supaya sentiasa setia kepada kepimpinan dan arahannya," katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar menubuhkan Pasma yang didaftarkan di bawah Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 pada 11 Ogos lalu, dipercayai bakal bertindak sebagai 'Pas baharu' sebagai tindak balas terhadap penentangan Abdul Hadi berhubung cadangan Anwar untuk melantik isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

Berita dari gunung berkata...

isu buang Khalid Ibrahim yang cemerlang dan mahu isteri sendiri jadi MB, terlalu besar untuk orang bermaruah dan berprinsip terima. PAS/Hadi/Haron Din/Nik Aziz sudah muak dan mahu sanggah..... INI KALI..!!


..........