Selasa, September 30, 2014

Kenyataan media Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) macai KETUM Anwar dan PKR?


Pas perlu henti cetus ketegangan.

Lensa berpendirian sistem politik dwi-parti merupakan mekanisme yang sangat berkesan dalam mewujudkan pentadbiran berimbang. Sebagai satu-satunya pakatan pembangkang di Malaysia, pakatan pembangkang perlu sentiasa memperkukuh persepakatan bagi menyemak imbang urus tadbir negara di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN). Pakatan pebangkang yang kuat akan melahirkan Kerajaan yang lebih perihatin dan telus dalam pemerintahan.

Sebaliknya, jika pakatan pembangkang lemah, maka Kerajaan yang memerintah akan berpeluang untuk mentadbir secara sesuka hati sekaligus berpotensi untuk menindas rakyat. Sebagai contohnya , dalam tempoh masa pakatan pembangkang terheret dengan konflik dalaman yang berpanjangan dan kelihatan lemah, tempoh tersebut telah digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menganiaya pemimpin politik dan aktivis rakyat menggunakan Akta Hasutan. Lensa melihat pakatan pembangkang begitu longlai dalam menangani keghairahan Kerajaan menggunakan Akta Hasutan walaupun pemimpin utama pakatan pembangkang sendiri disabitkan dengan akta drakonian tersebut.

Lensa juga ingin mengingatkan pemimpin pakatan pembangkang bahawa mereka sedang membawa harapan 52% rakyat Malaysia yang telah memberi undi popular kepada pakatan pembangkang dalam PRU 13 yang lalu. Perkara ini merupakan bukti signifikan yang menunjukkan pakatan pembangkang tidak sekadar dianggap sebagai musuh tradisi kepada Kerajaan Barisan Nasional, tetapi juga telah diterima sebagai alternatif baru untuk Malaysia.

Oleh itu Lensa menyeru setiap komponen pakatan pembangkang untuk berkongsi tanggungjawab memperkukuh pakatan pembangkang, demi menjunjung harapan rakyat yang menimpikan reformasi berlaku dalam negara.


Sikap Pas mengeruhkan lagi keadaan.

Lensa telah menganjurkan empat forum sepanjang krisis politik Selangor berlaku. Keempat-empat forum ini telah membincangkan mengenai punca kemelut, faktor yang menyebabkan kemelut ini berpanjangan dan langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan oleh pakatan pembangkang untuk menyelesaikan konflik ini.

1. Pas Belakangkan Setiakawan.
Lensa melihat Pas menjadi faktor utama yang menyebabkan krisis Selangor terheret sehingga hampir lima bulan. Walhal konflik ini boleh diselesaikan lebih awal sekiranya PAS menghormati semangat setiakawan dengan menyokong calon Menteri Besar yang telahpun dipersetujui secara bersama oleh PKR dan DAP.

2. Pas Lewat Bertindak, Tidak Konsisten.
Walaupun diadakan terlalu lewat, mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos sebetulnya sudah mampu menyelesaikan masalah yang berlaku. Namun selepas mesyuarat tersebut, Pas beberapa kali membuat pusingan ‘U’ menyebabkan konflik semakin buntu. Walaupun pada 17 Ogos mesyuarat pimpinan pakatan pembangkang sepakat menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal MB Selangor, namun selepas mesyuarat tersebut Pas berkeras untuk tidak menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut.

3. Pas Menyerang Kawan Sendiri Tanpa Asas Yang Jelas.
Konflik menjadi lebih parah apabila terdapat pemimpin Pas yang secara terbuka mengkritik calon MB yang dipilih oleh rakan komponen. Lensa tidak menolak hak individu mahupun organisasi untuk mengkritik dan bersuara, namun dalam isu ini, terdapat kritikan yang berbentuk serangan peribadi terhadap pemimpin parti kawan. Sebagai contohnya Ahli Parlimen Temerloh melabelkan Anwar Ibrahim sebagai mengamalkan nepotisme apabila isteri beliau dipilih sebagai calon MB baru. Selain itu, Presiden Pas sendiri dalam satu kenyataan terbuka di Terengganu melabelkan Dr. Wan Azizah sebagai lemah dan tidak mampu memimpin Selangor.

Lensa percaya kenyataan-kenyataan ini dibuat bertujuan untuk memberi justifikasi terhadap pendirian Pas yang berbeza dalam krisis politik Selangor. Namun hakikatnya kenyataan-kenyataan ini hanya menjadikan konflik semakin tegang.

4. Karenah Pas, Akhirnya Demokrasi Dicabuli.
Lensa menjadi lebih terkilan setelah sikap Pas ini menyebabkan perinsip demokrasi tercemar apabila pemilihan MB Selangor hari ini tidak dipilih berdasarkan lunas-lunas demokrasi. Walaupun menghormati MB yang telah dipilih, Lensa beranggapan menafikan hak individu yang mendapat sokongan majoriti untuk dipilih menjadi MB merupakan pencabulan demokrasi secara jelas.

5. Kenyataan Berterusan Pemimpin Pas Yang Menimbulkan Ketegangan.
Lensa juga melihat hubungan sesama komponen pakatan pembangkang menjadi tidak tentu apabila terdapat beberapa pemimpin Pas yang berterusan mengeluarkan kenyataan secara terbuka yang merugikan pakatan pembangkang.


Berikut merupakan kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan pemimpin Pas:

1. Ahli Parlimen Pas Pasir Mas, Nik Abduh mengeluarkan kenyataan pada 28 September mendakwa Pas dibuli oleh PKR dan DAP. Kenyataan beliau itu disiarkan portal berita The Malaysian Insider dan beberapa akhbar bercetak.

2. Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin pula dalam satu wawancara yang dikendalikan Sinar Harian pada 25 September lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Pas bersedia untuk keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya tiba masa untuk berbuat demikian.

3. Presiden Pas dalam ucapan penggulungan Muktamar Pas ke 60 menuduh PKR mencuri dua ADUN Pas yang memberi sokongan kepada Dr. Wan Azizah. Dalam kenyataan yang sama, Presiden Pas juga menyifatkan tindakan tidak menyokong Dr. Wan Azizah sebagai calon MB adalah kerana beliau tidak mahu membawa ahli Pas ke neraka akibat tersalah memilih pemimpin. Kenyataan Presiden Pas ini disiarkan banyak akhbar termasuk Malaysiakini bertarikh 20 September.

4. Dr. Zuhdi Marzuki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, melalui tulisan bertajuk ‘Di mana salahnya Akta Hasutan’ di laman Facebook beliau pada 19 September secara terbuka mempertikai usaha melawan Akta Hasutan sedangkan pakatan pembangkang sendiri secara prinsip telah mendesak agar akta drakonian tersebut dimansuhkan.

5. Presiden Pas juga pada 5 September, seperti yang dilaporkan Malaysiakini telah mengkritik kebolehan Dr. Wan Azizah dan menyifatkan beliau sebagai lemah serta tidak layak untuk memimpin Selangor.

6. Ahli Parlimen Pas Temerloh pada 30 Ogos mengeluarkan kenyataan yang disiarkan Malaysiakini mendakwa Anwar Ibrahim mengamalkan politik nepotisme apabila isteri beliau dipilih sebagai calon MB yang baru menggantikan Khalid Ibrahim

7. Dr. Zuhdi Marzuki juga dalam kenyataan yang disiarkan Malaysiakini bertarikh 8 Ogos mendakwa Anwar Ibrahim melakukan serang hendap terhadap Presiden Pas.

8. Dr. Zuhdi Marzuki melalui satu tulisan dalam aplikasi Whataspp yang terdedah pada 29 Julai lalu telah mengeluarkan satu analisis yang berbaur rasis dan mencadangkan kerjasama antara Pas dan UMNO di Selangor untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.


Pakatan pembangkang bakal hilang sokongan rakyat.

Lensa khuatir sekiranya pertembungan dalaman pakatan rakyat ini tidak diurus segera, maka masyarakat akan hilang kepercayaan kepada pakatan rakyat dan secara khususnya kepada Pas. Ini berikutan tanggapan umum terhadap Pas yang dilihat membelakangkan semangat pakatan pembangkang seterusnya menyebabkan krisis menjadi semakin rumit.

Dalam empat siri forum yang telah dijalankan, Lensa menganggarkan seramai 700 orang telah hadir sebagai penonton. Daripada empat forum tersebut, 33 soalan telah diajukan oleh penonton kepada para panelis. Soalan tersebut telah dikumpulkan untuk dianalisis. Hasilnya, 23 daripada 33 soalan tersebut menunjukkan kekecewaan terhadap sikap Pas dalam krisis Selangor. Analisis itu juga menunjukkan semua soalan yang diajukan oleh penonton bukan Islam mempertikaikan sikap Pas sepanjang konflik berlaku.

Bertindak segera atau keluar pakatan pembangkang.

Melihat kepada perlunya tindakan segera bagi memulihkan permuafakatan dalam pakatan pembangkang, maka Lensa mengemukakan cadangan berikut kepada pihak Pas:

1. Lensa menyarankan agar Pas perlu menggesa semua pimpinan di semua peringkat untuk tidak lagi membuat kenyataan yang boleh memudharatkan hubungan sesama rakan pakatan. Hal ini penting bagi mewujudkan tempoh bertenang seterusnya memberi ruang kepada komponen Pakatan Rakyat memperkukuh semula permuafakatan.

2. Lensa menyarankan agar Pas perlu menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ahli mahupun pimpinan yang bertindak mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat keutuhan pakatan pembangkang. Hal ini penting bagi membuktikan ketelusan Pas bersama pakatan pembangkang sekaligus menunjukkan pandangan yang tidak pro-pakatan sebagai pandangan minoriti dan terpencil dalam Pas. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, Lensa yakin kepercayaan masyarakat umum kepada Pas akan dapat dikembalikan.

3. Lensa juga berpendirian sekiranya Pas gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam Pas yang terus menerus mewujudkan konflik sesama Pakatan, maka Lensa mencadangkan agar Pas mengambil langkah untuk berundur daripada pakatan pembangkang.

Sekian.

Ekhsan Bukharee,
Koordinator
Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa)

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: