Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Sabtu, September 20, 2014
Adam Adli mendahului Anwar dipenjara 12 bulan kerana kenyataan menghasut?
"Walaupun tiada sebarang keganasan terjadi disebabkan kenyataan tertuduh, dia terlibat secara lantang dalam mengajak orang ramai menjatuhkan kerajaan sedia ada. Itu secara tidak langsung boleh menggugat perpaduan negara."
Demikian penegasan seorang pendakwa raya sebelum Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim setelah didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah, Mei tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 25 tahun itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas sebelum itu turut memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada orang lain agar tidak mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dengan sewenang-wenangnya.
"Latar belakang tertuduh sebagai mahasiswa juga membuktikan tertuduh adalah golongan terpelajar dan seharusnya lebih berhati-hati membuat sebarang kenyataan," ujarnya.
Terdahulu, peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja terhadap Adam Adli dan mengetepikan hukuman penjara kerana anak guamnya itu masih muda dan menuntut di sebuah kolej swasta dalam jurusan perundangan.
Menurutnya, tertuduh juga sentiasa memberi kerjasama kepada pihak mahkamah dengan menghadiri setiap tarikh perbicaraan yang ditetapkan.
Beliau juga mendakwa tindakan anak guamnya tidak mengakibatkan masalah terhadap negara dan sebarang kejadian tidak diingini seperti keganasan berlaku dalam kalangan orang awam sehingga sekarang.
Peguam N. Surendran yang turut mewakili tertuduh pula membangkitkan bahawa tiada bukti kukuh yang boleh membuktikan bahawa Adam Adli membuat kenyataan yang mengajak orang ramai menukar kerajaan secara tidak sah.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja putih disematkan reben biru sebagai tanda solidariti didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di No. 1 Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara lima tahun.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan mengekalkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin. -UMO
Suara Politik
Belantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan