Selasa, September 30, 2014

Sultan tegur pihak tidak faham peranan institusi raja!


Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah hari ini menegur pihak-pihak yang sengaja tidak memahami peranan dan kuasa institusi raja di negeri ini atas sebab mempunyai agenda tersembunyi.

"Kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar sultan, rakyat beranggapan institusi raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

"Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa institusi raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.

"Beta adalah sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterikan pada tahun 1959," titah tuanku pada Majlis Pelantikan Exco Baru Negeri Selangor di sini hari ini.

Sultan Sarafuddin bertitah, krisis Menteri Besar Selangor "telah membuka mata dan hati serta pandangan beta terhadap politik di Negeri Selangor ini."

"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya yang akan datang.

"Tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titah tuanku.

Sebagai sultan yang memerintah, Sultan Sarafuddin bertitah, tugas-tugas baginda amatlah berat untuk memastikan rakyat negeri Selangor dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan negeri yang sempurna.

"Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri yang dijalankan oleh menteri besar. Beta hanya menasihatkan menteri besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.

"Beta ingin mengingatkan bahawa sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya," titah tuanku lagi.

Sultan Sarafuddin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat negeri Selangor yang menyokong baginda dalam kemelut pelantikan menteri besar itu dan mempercayai baginda dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Tidak lupa juga beta mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari istana," titah tuanku.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: