Rabu, September 03, 2014

# MH17 - Keranda tiga beranak MH17 disimpan sementara di Nirvana, jurugambar ditumbuk keluarga mangsa?

Tinggal kenangan...Subashni Jretnam, Paul Goes dan anak mereka, Kaelamayajay Goes.

2 Sept - Mayat tiga sekeluarga, pelakon Subashni Jretnam dan suami, Paul Goes serta anaknya, Kaelamayajay Goes, tiba di Memorial Nirvana, Sg. Besi di sini hari ini untuk disimpan sementara menunggu hari pengebumian pada Jumaat ini.

Ketiga-tiga mayat sekeluarga ini adalah sebahagian daripada sembilan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 yang berjaya dibawa pulang untuk dikebumikan.

Subashni yang berkahwin dengan Paul, warganegara Belanda merupakan antara 298 termasuk anak kapal yang menjadi mangsa apabila pesawat MAS, MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai lalu di Timur Ukraine.

Suasana di Nirwana pada mulanya tenang sementara menunggu ketibaan van-van jenazah tetapi bertukar menjadi kecoh apabila ahli keluarga mendiang bertindak agresif terhadap sekumpulan wakil media massa yang bertugas membuat liputan ketibaan van-van jenazah.


Keadaan menjadi kelam kabut apabila salah seorang jurufoto akhbar berbahasa Inggeris tempatan, diserang sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian mukanya.

Ekoran insiden tersebut, kamera jurufoto berkenaan pecah dan beliau terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun kekecohan itu dapat dileraikan apabila pihak berkuasa campur tangan dan pihak pengurusan Nirvana pula bertindak menenangkan keadaan.

Mayat ketiga-tiga mangsa MH17 ini akan disemadikan di Nirvana Semenyih, berdekatan Broga pada Jumaat nanti selepas segala persiapan penghormatan terakhir kaum keluarga dan sahabat handai terdekat dijalankan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: