Ahad, September 21, 2014

Memang 'hentam' Presiden Pas - Pasma?


Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) mengakui terdapat suara yang mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berundur dalam pertemuan bersama ahlinya di Kota Bharu, Kelantan pada 31 Ogos lalu.

Presiden Pasma, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi berkata, desakan itu dibuat atas alasan mahu memperkukuh pakatan pembangkang yang dilihat kian rapuh akibat krisis Menteri Besar di Selangor.

Namun katanya, desakan itu bukan pendirian rasmi Pasma sebaliknya hanya disuarakan oleh ahlinya yang juga merupakan ahli Pas di peringkat bawahan.

"Saya tak nafikan memang ada (desakan berundur). Tetapi itu bukan pendirian Pasma dan desakan itu bukannya datang daripada kepemimpinan parti di mana-mana peringkat, sebaliknya disuarakan oleh ahli Pas atas nama individu yang tidak memegang apa-apa jawatan.


"Memang mereka 'hentam' Presiden Pas tetapi bagi saya itu perkara biasa dalam politik. Semua yang hadir dalam pertemuan itu adalah penyokong pakatan pembangkang yang bertaraf ahli biasa tanpa jawatan. Jadi, mereka cuma boleh bersuara sahajalah," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan dalam laman Facebooknya mendedahkan pertemuan Pasma itu sarat dengan perbincangan dan kritikan untuk menjatuhkan pucuk pimpinan Pas terutamanya Abdul Hadi.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai majlis 'membelasah' pimpinan Pas, Nasrudin mendakwa menerima maklumat terdapat individu yang menyebut Jawatankuasa Pas Pusat sedia ada boleh menurunkan Abdul Hadi tanpa perlu menunggu muktamar.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: