Rabu, Oktober 01, 2014

Pas boleh keluar daripada pakatan pembangkang - Lensa macai KETUM Anwar?


Selepas Pas menerima tamparan hebat termasuk kehilanggan satu kerusi Exco di Selangor serta pemecatan anggotanya sebagai ahli majlis dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang, parti itu hari ini diberi kata dua oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) propembangkang, Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) sama ada kekal atau keluar daripada pakatan pembangkang.

Lensa yang dianggotai bekas mahasiswa propembangkang termasuk bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Safwan Anang, yang dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memberi ucapan berbaur hasutan, mempertikai kepimpinan Pas dan menuduh parti itu sebagai punca konfik berpanjangan di Selangor dan ketegangan pakatan pembangkang.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini hari ini, Lensa memberi amaran kepada Pas agar mengambil tindakan kepada kepimpinan dan ahli parti itu yang mencetuskan ketegangan atau keluar dari pakatan pembangkang.

Koordinator Lensa, Ekhsan Bukharee berkata, krisis Selangor yang berpanjangan menunjukkan Pas membelakangkan semangat setiakawan dengan tidak menyokong calon Menteri Besar Selangor yang telah dipersetujui oleh DAP dan PKR

Pas juga didakwa lambat bertindak serta beberapa kali membuat keputusan yang dilihat sebagai pusingan-U dalam kemelut berkenaan dan mengkritik secara terbuka calon Menteri Besar yang dipilih, katanya.


"Contohnya Ahli Parlimen Temerloh melabelkan Anwar Ibrahim sebagai mengamalkan nepotisme apabila isteri beliau dipilih sebagai calon MB baru.

"Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dalam satu kenyataan terbuka di Terengganu melabelkan Datin Seri Dr. Wan Azizah sebagai lemah dan tidak mampu memimpin Selangor," kata Ekhsan.

Memorandum empat muka surat itu turut memetik kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan Pas termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz sebagai pencetus ketegangan.

"Presiden Pas dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Pas Ke-60 menuduh PKR mencuri dua ADUN Pas yang menyokong Dr. Wan Azizah. Beliau juga menyifatkan tindakan tidak menyokong Dr. Wan Azizah kerana tidak mahu membawa ahli Pas ke neraka.

"Ahli Parlimen Pas Pasir Mas, Nik Abduh mengeluarkan kenyataan pada 28 September mendakwa Pas dibuli oleh PKR dan DAP," kata Ekhsan.

Memorandum itu turut mengemukakan cadangan bagi memulihkan permuafakatan pembangkang termasuk menggesa Pas keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya gagal bertindak terhadap kelompok dalam parti itu yang mewujudkan konflik dengan DAP dan PKR.

"Lensa menyarankan Pas menyiasat dan mengambil tindakan terhadap ahli mahupun pemimpimnya yang bertindak mengeluarkan kenyataan yang mampu menggugat keutuhan pakatan pembangkang.

"Lensa juga berpendirian sekiranya Pas gagal bertindak tegas terhadap kelompok yang berterusan mewujudkan konflik dalam pakatan pembangkang, maka Lensa mencadangkan agar Pas mengambil langkah berundur," tegas Ekhsan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: